PUTRAJAYA- Terdapat kira-kira RM3.9 bilion di bawah Dana Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bank Negara Malaysia yang masih belum digunakan setakat akhir Julai lalu.
Daripada jumlah tersebut, RM3.3 bilion masih tersedia kepada semua sektor ekonomi, RM97.9 juta adalah untuk sektor pertanian utama, perusahaan mikro (RM6.9 juta), Projek Usahawan Bumiputera Dana-I yang disalurkan melalui Credit Guarantee Corporations (RM191.4 juta).
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, kesemua dana tersebut berada di dalam sistem kewangan negara sama ada melalui bank ataupun agensi-agensi tertentu.
“Kita banyak dengar rungutan yang mengatakan terdapat PKS yang sukar mendapatkan pinjaman, dengan itu kerajaan meningkatkan usaha supaya penyaluran maklumat dapat ditambah baik.
“Saya sendiri menyediakan emel dan nombor telefon khas supaya para PKS dapat berhubung,” katanya semasa sidang media yang dianjurkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Menurut Abu Hassan, mengikut kajian Bank Negara, kadar kelulusan pinjaman kepada PKS adalah 90 peratus manakala jumlah hutang tidak berbayar (NPL) pula berada di paras yang sihat.
Bagaimanapun, masih banyak perkara yang perlu diberi penjelasan kepada usahawan PKS termasuk dari segi daya saing, kemampuan membayar semula hutang, kos perniagaan yang dijalankan terlalu tinggi dan sebagainya yang masih menjadi punca utama mereka sukar mendapatkan pinjaman.
“Namun begitu, Bank Negara tetap mahu berhubung secara langsung dengan para usahawan supaya kami dapat memahami dengan lebih mendalam masalah PKS dan dalam masa yang sama mencarikan penyelesaian kepada mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette