KUALA LUMPUR – Lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan warga emas yang mayatnya ditemukan dalam lubang kumbahan najis di Kampung Sungai Burung semalam ditahan polis pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A.A. Anbalagan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di Jalan Air Putih, Balik Pulau, Pulaun Pinang pada 8.45 pagi tadi oleh sepasukan polis yang membuat risikan dan intipan ke atas suspek.
“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengaku membunuh ibunya ketika sedang bertengkar dengan mangsa di rumah mereka awal pagi Isnin sebelum menikam leher warga emas itu dengan pisau seterusnya mengelar leher si mati.
“Kejadian itu berlaku di bahagian dapur rumah mereka dan suspek kemudiannya terus menolak lubang kumbahan najis yang terdapat di belakang rumah sebelum membuang ibunya ke dalam kumbahan najis yang bertutup sedalam 1.5 meter,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana berada dalam keadaan khayal berikutan di bawah pengaruh bau petrol.
Anbalagan berkata, lelaki itu juga mengaku tiada penglibatan orang lain dalam kejadian tersebut dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Balik Pulau esok untuk perintah tahanan reman.
“Berikutan penahanan lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau kerana mencederakan kakaknya itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes itu,” katanya.
Misteri kehilangan seorang warga emas sejak enam hari lalu terjawab apabila mayat wanita itu ditemui dalam lubang kumbahan najis di belakang rumahnya di Kampung Sungai Burung, di sini, semalam.
Mayat Faridah Hashim, 63, ditemukan menantu lelakinya pada jam 2.30 petang semasa mencari ibu mertuanya di sekeliling kawasan rumah. – MalaysiaGazette