Home Politik Pengampunan Anwar sah, layak jadi calon PRK 

Pengampunan Anwar sah, layak jadi calon PRK 

Datuk Zaid Ibrahim
Bekas Menteri Undang-undang juga Bekas Pengerusi Inter-Asean Parliamentary Caucus on Pro-Democracy Myanmar, Datuk Zahid Ibrahim bercakap pada sidang media mengenai isu pelarian Rohinghya di Malaysia di Restoran Mama Nor Yong Tau Foo, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tidak timbul isu pengampunan Yang di-Pertuan (YDP) Agong terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sah kerana pembebasan Ketua Umum PKR itu telah dilakukan selepas PRU14 lalu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menegaskan tidak timbul persoalan Anwar tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson kerana beliau telah dibebaskan.

“Pada saya pengampunan itu telah dilakukan dan laporan yang dibuat oleh akhbar dan media saya terima itu sebagai asas. Kalau proses pengampunan sudah berlaku, tak timbul soal lain.

“Saya tak tahu soal dalaman (proses pengampunan) mungkin Siti Kassim ada maklumaat dalaman (pengampunan Anwar tidak sah),” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar.

Beliau mengulas surat bantahan Siti Kassim atau Siti Zabedah Kasim kepada Peguam Negara, Tommy Thomas baru-baru ini yang mempersoalkan status Anwar yang dibebaskan daripada hukuman penjara pada Mei lalu.

Siti Kasim juga mempersoalkan sama ada Anwar dibebaskan kerana hukuman lima tahun penjara dikurangkan atau YDP Agong mengampunkan pemimpin PKR itu.

Zaid juga berkata, Anwar layak menggantikan tempat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri berdasarkan kesepakatan PH yang dicapai sebelum PRU14 dan konsisten sehingga ke hari ini.

“Kalau ada benda lain yang kita tak tahu wallahu aklam. Anwar memang layak, PH kata dia bakal ganti Mahathir, maka PH kata dia layak (jadi PM) kalau tidak macam mana boleh ganti Mahathir.

“Bukan dari segi undang-undang saja malah kalau dulu sudah bersetuju Anwar layak jadi pengganti Mahathir, sudah tentu dia layak jadi calon PRK Port Dickson,” katanya lagi. – MalaysiaGazette