PETALING JAYA – PKR hari ini memecat keangotaan dua ahlinya yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan pada proses pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang Sabtu lalu.
Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.
“Ada beberapa pelanggaran disiplin ada yang lebih teruk berlaku, ada dua kes yang telah diteliti Biro Politik berdasarkan foto dan rakaman pertama di Merbok di mana pergaduhan dan guna senjata maka kita ambil keputusan segera pecat serta merta anggota parti.
“Begitu juga satu lagi insiden di Seberang Jaya di mana kerusi dibaling kita kenal pasti namanya orang berkenaan automatik terpecat mulai sekarang, dua orang dipecat setakat ini.
“Sebelum dia baling kerusi pada kita, kita baling dia keluar parti,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR malam ini.
Terdahulu, Anwar hadir Mesyuarat Biro Politik yang turut dihadiri oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
SEmentara itu, Anwar berkata, keputusan pemilihan di Pulau Pinang diterima manakala di Kedah keputusan akan ditangguh sehingga selewat-lewatnya November.
Sabtu lalu kekecohan berlaku semasa pemilihan di beberapa cabang PKR Kedah dan Pulau Pinang.
Kekecohan berpunca dari masalah sistem e-voting menyebabkan pemilihan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka yang sepatutnya berlangsung pada Ahad ditangguh ke tarikh lain.
Pada masa yang sama keputusan pemilihan di Kedah juga dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh baru.
Rentetan kekecohan itu polis turut menahan reman 13 lelaki selama 3 hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika pemilihan PKR Cabang Merbok.
Anwar dalam pada itu memaklumkan mesyuarat pada malam ini tidak membincangkan isu desakan agar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dikenakan tindakan berikutan isu pemilihan parti itu.
Terdahulu calon Ketua Wanita PKR, Haniza Talha mendesak kepimpinan parti mengambil tindakan terhadap Saifuddin dan Jawatankuasa Pemilhan Parti (JPP) ekoran proses pemilihan tidak lancar. – MalaysiaGazette