KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mensasar untuk meningkatkan peruntukan ekuiti persendirian (PE) melebihi 3 peratus dalam tempoh 10 tahun lagi berbanding 2 peratus pada masa ini.
Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pasaran PE domestik masih di peringkat awal dan pelabur institusi tempatan, termasuk KWSP, semakin memainkan peranan aktif dalam pelaburan itu kerana keupayaannya untuk memberikan pulangan jangka panjang yang lebih baik.
“Ekuiti persendirian juga berpotensi untuk mengungguli kelas aset lain semasa kitaran ekonomi tertentu,” katanya dalam ucapannya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Global PE KWSP di sini hari ini.
Beliau menjelaskan PE tetap menjadi keutamaan para pelabur memandangkan mereka melihat untuk mendapatkan manfaat potensi pertumbuhan besar di Asia.
“Kami berharap bahawa sidang kemuncak ini akan menyediakan platform ideal untuk terus membangun dan mempromosikan ekosistem ekuiti swasta di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Memandangkan peningkatan teknologi dalam kehidupan seharian dan peluang pelaburan, Samsudin berkata, KWSP telah meningkatkan peranan teknologi dalam program PE.
KWSP juga mensasarkan untuk mengisytiharkan sekurang-kurangnya dividen sebenar 2 peratus pada asas tiga tahun dan mandat baru ini boleh menawarkan pulangan yang diselaraskan dengan risiko dan memenuhi sasaran lindung nilai inflasi. – MalaysiaGazette