KUALA TERENGGANU – Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak sebarang andaian dan persepsi negatif berhubung hubungannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar berkata beliau tidak mampu menolak semua desas-desus seumpama itu namun berharap kesungguhannya bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir terus mendapat sokongan terutama dalam kalangan anggota PKR.
“Saya ambil keputusan bersama dengan kepimpinan PKR dan PH, masalah (negara) yang dihadapi besar dan kita tak mampu hadapi jika ada masalah dalam pimpinan PH. Maka kita biar(lah) kerajaan ini kuat dan di bawah (teraju) perdana menteri yang tegas barulah boleh selesaikan masalah besar seperti 1MDB.
“Tetapi ini tak menghalang orang cucuk dan mentafsir begitu begini untuk ajak saya bergaduh. Janganlah ajak saya bergaduh dengan Dr Mahathir…dah 20 tahun gaduh. Kami dah berbaik. Jangan ada adu domba politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pemimpin dan anggota PKR Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.
Katanya walaupun PKR tidak berjaya menguasai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, hubungan baik dengan kerajaan negeri pimpinan PAS harus dibina demi kepentingan rakyat.
Selain itu, Anwar yang berucap kira-kira setengah jam, berkata beliau tetap bertegas menolak mana-mana anggota PKR terlibat rasuah dan langkah pemecatan akan diambil terhadap mereka yang berbuat demikian.
Bercakap pada sidang media kemudian, beliau menyifatkan tindakan beberapa bekas tokoh UMNO yang dilaporkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama sekali tidak menggugat hubungan PKR dengan sekutunya dalam PH.
Beliau berkata sebagai parti yang sama-sama bernaung di bawah payung PH, PKR akan meneruskan jalinan kerjasama dan mengekalkan sikap saling mempercayai terhadap Bersatu dan parti komponen lain dalam pakatan itu.
“Kita masih lagi parti yang kuat dalam Pakatan (Harapan)…selagi hubungan dijalin dengan baik saya tidak harus musykil,” katanya.
“…yang penting kita harus mengekalkan hubungan baik dengan Bersatu, saling bekerjasama dan saling mempercayai…hubungan peribadi saya dengan Tun (Dr Mahathir) juga sangat baik, jadi saya tidak gusar,” katanya.
Majlis hari ini turut dihadiri Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.
Dalam pada itu, Anwar, yang dinamakan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan, berkata beliau tidak terkejut apabila Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dan PH memaklumkan tidak akan turun berkempen membantu beliau pada PRK itu.
Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan sendiri Dr Mahathir atas faktor mempunyai kekangan kerja sebagai perdana menteri.
“Sebagai perdana menteri, beliau ada beritahu tidak pernah turun berkempen pada mana-mana PRK kerana saya faham beliau ada keutamaan (sebagai perdana menteri). Tapi saya tahu beliau akan beri kerjasama dan meminta semua parti di bawah PH turut sama berkempen…dan beliau juga menasihatkan saya agar terus bekerja kuat,” katanya.
Anwar seterusnya berkata beliau tidak sesekali memandang rendah calon lain yang akan bertanding menentangnya pada PRK itu.
Katanya segala perancangan mengenai kelebihan yang bakal dinikmati penduduk di kawasan Parlimen itu termasuk dalam soal pendidikan akan diumumkan ketika mendapat peluang bertemu dengan masyarakat di sana tidak lama lagi.
— BERNAMA