KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan berjanji akan memastikan Kuala Lumpur kekal menjadi bandar maju yang moden dan berusaha untuk terus berdaya saing bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta mewujudkan persekitaran hidup berkualiti pada masa akan datang.
Menterinya, Khalid Samad berkata, beliau menyedari perancangan bandar, pembangunan dan pengurusan berada dalam keadaan kritikal dalam era yang mana negara ini sudah mempunyai 77 peratus penduduk tinggal di bandar.
Kata beliau, lagi ramai penduduk di bandaraya ini, lagi besar cabaran urbanisasinya seperti pembuangan sisa pepejal, kesesakan lalu lintas, pencemaran udara, sumber air yang terhad, bekalan perumahan yang tidak mencukupi dan peningkatan populasi yang semakin tua.
“Malaysia akan menjadi masyarakat penuaan pada 2040 di mana hampir 20 peratus akan berusia 65 tahun ke atas, membawa cabaran baru dalam keperluan perkhidmatan kesihatan dan persekitaran bandar fizikal.
“Ini adalah satu gambaran mengenai senario ibu kota Kuala Lumpur pada tahun 2020, yang kini mempunyai kira-kira 2.2 juta penduduk dengan setengah juta daripadanya adalah isi rumah.
“Bandar ini juga akan mempunyai kira-kira 25 peratus penduduk dari golongan muda, yang bermakna kita berdepan dengan peningkatan keperluan bagi perumahan, pekerjaan, ruang rekreasi dan pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Bandar Lestari Bertaraf Dunia 2018 di Hotel Intercontinental di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ECSC ke-10, Michael Fu; dan Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah, Kuala Lumpur, Tan Ching Meng.
Menurut Khalid, antara visi dan misi beliau apabila menerajui kementerian itu ialah merancang dan mengurus bandaraya Kuala Lumpur bukan hanya untuk memenuhi keperluan penduduk sedia ada sekarang, tetapi juga keperluan rakyat pada masa hadapan.
“Saya dimaklumkan melalui persidangan ini, terdapat kesedaran yang lebih besar untuk membuat dan mengurus bandar-bandar secara lebih baik melalui amalan terbaik yang telah dibincangkan dan ini telah diguna pakai dan disesuaikan oleh Kuala Lumpur dan banyak bandar lain di seluruh negara.
“Sehubungan itu, tema persidangan tahun ini “Kuala Lumpur: Today and Beyond” sangat tepat pada masanya dan tepat untuk memperingati perancangan perkongsian perancangan terbaik ke-10 melalui persidangan WCSC.
“Saya bangga untuk mengatakan bahawa Kuala Lumpur telah berubah menjadi sebuah bandaraya yang maju dan moden,” katanya. – MalaysiaGazette