Home Nasional Lelaki dihukum gantung sampai mati bunuh isteri polis

Lelaki dihukum gantung sampai mati bunuh isteri polis

Gambar hiasan

TAIPING – Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati manakala rakannya dihukum penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh isteri anggota polis tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Asmadi Hussin menjatuhi hukuman itu ke atas A.Nagarujun, 22, dan rakannya yang berusia 20 tahun, selepas mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Katanya, lelaki berumur 20 tahun itu dijatuhi hukuman penjara pada satu tempoh sehingga mendapat pengampunan pemerintah negeri iaitu sultan kerana tertuduh melakukan kesalahan itu semasa berumur 17 tahun.

Mengikut pertuduhan, Nagarujun dan rakannya didakwa membunuh Izaah Abdullah, 52, antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi di sebuah rumah di Laluan Tanjung 4, Taman Tanjung Emas, Ulu Kinta di Ipoh pada 11 Feb 2015.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz manakala Nagarujun diwakili peguam Datuk Naran Singh manakala rakannya diwakili Ranjit Singh.

Sementara itu, anak mangsa Zulfadhli Sallehuddin, 30, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau berasa lega dan bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini.

“Saya dan bapa telah berpindah ke rumah lain kerana masih terbayang-bayang kenangan bersama arwah ketika di rumah dahulu,” kata anak tunggal itu yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Jabatan Kesihatan Perak.

— BERNAMA