Home Nasional FMM: Majikan mahu levi RM10,000 dikenakan bagi tempoh tiga tahun

FMM: Majikan mahu levi RM10,000 dikenakan bagi tempoh tiga tahun

Persekutuan Pekilang -Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengenakan levi RM10,000 bagi tempoh tiga tahun, dan bukannya meminta majikan membayar jumlah itu setiap tahun untuk melanjutkan khidmat pekerja asing mahir mereka.

KUALA LUMPUR- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengenakan levi RM10,000 bagi tempoh tiga tahun, dan bukannya meminta majikan membayar jumlah itu setiap tahun untuk melanjutkan khidmat pekerja asing mahir mereka.

Presidennya, Datuk Soh Thian Lai berharap kerajaan akan mengadakan perbincangan bersemuka segera dengan persatuan perdagangan atau industri untuk mencari penyelesaian sama-sama menang bagi majikan dan juga negara.

“Jika levi itu kekal pada RM10,000 setahun, sukar bagi majikan untuk menanggungnya. Jika jumlah RM10,000 itu bagi tiga tahun, kemungkinan besar majikan akan dapat menanggung kos tersebut kerana mereka boleh mengekalkan pekerja mahir asing (lebih lama) di samping mempunyai output yang baik: oleh itu akan ada pulangan (bagi pelaburan),” katanya kepada pemberita di luar acara Persidangan 4.0 Industri FMM 2018, di sini, hari ini.

Soh berkata kedua-dua pekerja asing mahupun majikan tidak mampu membayar RM10,000 hanya bagi tempoh setahun, dan ia akan menyebabkan syarikat terpaksa mengambil pekerja asing baharu.

“Ini akan menjejaskan perniagaan mereka kerana pekerja baharu ini perlu dilatih sebelum mereka boleh bekerja,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan majikan yang ingin mengekalkan pekerja asing mahir mereka yang telah bekerja dengan mereka sekurang-kurangnya 10 tahun, perlu membayar secara penuh levi tahunan RM10,000.

Ini berbeza dengan arahan membayar hanya 20 peratus daripada levi itu seperti yang diumumkan sehari sebelumnya, dengan pekerja asing menanggung 80 peratus daripada kos.

Soh berkata sekiranya kerajaan mahu menukar kepada pelan pembayaran berkongsi  80:20, ia akan membebankan pekerja asing kerana purata gaji mereka adalah kira-kira RM2,000 hingga RM4,000 sebulan dan kos levi itu akan diterjemahkan kepada kira-kira RM666 sebulan.

“Berdasarkan kepada gaji bulanan RM2,000, kos levi RM666 sebulan ialah kira-kira 30 peratus daripada gaji mereka. Bagi pekerja yang bergaji RM4,000 sebulan, ia bermakna 15-20 peratus daripada gaji mereka.

“Jadi kemungkinan besar pekerja asing berpengalaman tidak akan kekal bekerja di Malaysia selepas tempoh 10 tahun kerana pembayaran levi mencakupi sebahagian besar daripada gaji bulanan mereka,” katanya.

— BERNAMA