KUALA LUMPUR – Menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) esok, pelbagai persiapan akhir sedang rancak dilakukan bagi memastikan acara tahunan terbesar parti Melayu itu berjalan dengan lancar.
Bezanya, PAU 2018 kali ini diadakan ketika UMNO dalam ‘mood’ kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, menyebabkan sambutannya diadakan dalam suasana sederhana.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah sempat meninjau persiapan sambutan, termasuk beramah mesra dengan media di Laman Media pagi ini.
Bercakap kepada wartawan selepas itu, beliau mengakui sambutan PAU 2018 kali ini tidak semeriah ketika UMNO dalam kerajaan.
“Perhimpunan kali ini berjalan mengikut jadual. Ada upacara menaikan bendera Sang Saka Bangsa pada hari ucapan Dasar Presiden pagi esok,” katanya ringkas.
PAU 2018 turut mencatat sejarah apabila persidangannya tidak mendapat siaran langsung oleh televisyen kerana semua jentera media itu kini di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo turut menjelaskan, RTM dan semua media bawah kementeriannya tidak akan memberi siaran langsung kepada perhimpunan agung UMNO itu.
Mengikut jadual perhimpunan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyampaikan ucapan perasmian perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka kira-kira jam 9.30 malam ini.
Esok pula selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan upacara menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa, beliau akan mengikuti perhimpunan serentak tiga sayap parti yang berlangsung di Dewan Merdeka (Wanita), Dewan Tun Dr Ismail (Pemuda) dan Dewan Tun Hussein Onn (Puteri) dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang.
Sebelah malam, kira-kira jam 8.30 pula, Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan Dasar Presiden yang dihadiri perwakilan tiga sayap parti.
Hari terakhir Ahad menyaksikan pembawa usul ucapan Dasar Presiden dari Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri menyampaikan usul masing-masing. – MalaysiaGazette