Home Nasional Ri Jong-chol diserah kepada Imigresen esok – Noor Rashid

Ri Jong-chol diserah kepada Imigresen esok – Noor Rashid

Tepat jam 11.50pagi seorang suspek tahanan reman warga Korea Utara, Ri Jong Chol (kanan) dibawa masuk kembali ke lokap dipercayai selepas disiasat sambil diiringi anggota polis berikutan kes kematian Kim Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara yang dipercayai dibunuh di klia2 pada 13 Februari lalu, di Ibu Pejabat Daerah Polis Sepang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 FEBRUARI 2017.
KUALA LUMPUR – Lelaki warga Korea Utara yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan seorang rakyat negara itu pada 13 Feb lepas, akan diserah kepada Jabatan Imigresen esok bagi proses penghantaran pulang ke negara asal.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata tindakan melibatkan Ri Jong-chol, 47, itu dibuat selepas dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kami telah rujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan didapati tidak cukup bukti untuk menuduhnya di mahkamah.

“Oleh itu, polis akan serahkan lelaki itu kepada pihak imigresen esok untuk proses penghantaran pulang ke negara asal,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jong-chol direman sejak 18 Feb bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Chol yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dia dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun yang kemudian disahkan sebagai agen saraf VX.

Jong-nam yang memegang pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

— BERNAMA