NYON, Switzerland – Jerman menewaskan Turki untuk menjadi tuan rumah Euro 2024 selepas pengundian dilakukan Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) hari ini.
Kedua-dua negara membuat pembentangan tawaran akhir sebelum undian berlangsung di Nyon, Switzerland.
Keputusan itu menyaksikan Jerman akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan Eropah itu buat julung kali sebagai sebuah negara yang bersatu, yang mana pada 1988 Jerman Barat dipilih menjadi tuan rumah untuk kejohanan tersebut.
Turki tidak pernah terpilih menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak utama antarabangsa.
Negara itu pernah mencuba menjadi tuan rumah Euro pada 2008, 2012 dan 2016 serta Sukan Olimpik 2020 namun usaha tersebut gagal. Jerman menganjurkan Piala Dunia pada 2006.
Euro 2024 akan kembali ke format tuan rumah tunggal selepas Euro 2020 yang akan diadakan di seluruh Eropah, termasuk Jerman.
Sebelum mengumumkan pemenang, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin berkata, Jerman dan Turki telah membuat ‘tawaran yang sangat baik’.
Selepas mengumumkan pemenangnya, beliau berkata: “Prosedurnya adalah telus. Pemilihan adalah demokratik. Setiap keputusan demokratik adalah keputusan yang tepat, jadi saya hanya boleh mengatakan saya tidak sabar untuk melihat Euro yang hebat pada tahun 2024.”
Euro 2024 yang akan berlangsung pada bulan Jun dan Julai bakal menampilkan 24 pasukan dengan 51 perlawanan dalam tempoh sehingga 32 hari.
Berlin akan menjadi gelanggang pelawanan akhir dengan Cologne, Dortmund, Dusseldorf, Frankfurt, Gelsenkirchen, Hamburg, Leipzig, Munich dan Stuttgart menjadi lokasi perlawanan.
Bekas kapten Jerman, Philipp Lahm berkata: “Kami mempunyai stadium yang luar biasa, peminat yang suka bola sepak dan paling utama kami mempunyai orang yang suka meraikan warga Eropah lain,”. – MalaysiaGazette