SULAWESI- Angka korban tsunami yang melanda Palu, Sulawesi meningkat kepada 48 orang manakala nasib ratusan lagi mangsa masih belum diketahui.
Gegaran susulan yang kuat juga masih berlaku di bandar pesisir pantai dekat Sulawesi itu pagi tadi.
“Kebanyakan mayat ditemui di sepanjang pantai disebabkan oleh tsunami namun begitu jumlah sebenar korban masih belum diketahui,” kata jurucakap Agensi Bencana Indonesia BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu sidang media di Jakarta.
Tambahnya, sekurang-kurangnya 48 orang disahkan terbunuh dan angka korban dijangka meningkat.
Nasib ratusan penduduk yang sedang membuat persiapan festival pantai bagi meraikan ulangtahun Palu masih belum dikenal pasti. Festival tersebut sepatutnya bermula malam tadi.
Nugroho menggambarkan kerosakan yang berlaku akibat bencana tersebut sangat teruk dengan ribuan rumah, hospital, pusat membeli belah dan hotal runtuh dan dibawa arus.
Kebanyakan mayat terperangkat di dalam runtuhan bangunan dan setakat ini lebih 350 orang cedera.