Home Nasional Golongan pekak cabar diri jadi pemandu Grab

Golongan pekak cabar diri jadi pemandu Grab

Nekad mencabar diri sendiri dan inisiatif mencari pendapatan tambahan mendorong golongan yang bermasalah pendengaran dan pekak untuk memberanikan diri mereka menjadi pemandu Grab.
Nekad mencabar diri sendiri dan inisiatif mencari pendapatan tambahan mendorong golongan yang bermasalah pendengaran dan pekak untuk memberanikan diri mereka menjadi pemandu Grab.

KUALA LUMPUR– Nekad mencabar diri sendiri dan inisiatif mencari pendapatan tambahan mendorong golongan yang bermasalah pendengaran dan pekak untuk memberanikan diri mereka menjadi pemandu Grab.

Salah seorang daripada mereka Abdul Fattaah Mohd Ghulam, 29, yang memulakan kerjaya itu sejak awal tahun ini mengakui berdepan sedikit kesukaran berkomunikasi dengan pelanggannya.

“Namun, setakat ini pelanggan sentiasa memberi kerjasama yang baik malah teruja apabila saya memberitahu saya tidak boleh mendengar,” katanya yang pernah bekerja sebagai pereka grafik dan jurugambar bebas.

Beliau berkata kepada pemberita dengan bantuan penterjemah pada pelancaran kempen #BreakTheSilent sempena Sambutan Minggu Cacat Pendengaran Antarabangsa (IWD) anjuran Grab Malaysia di sini hari ini yang dirasmikan Ketua Wilayah Grab Malaysia, Sean Goh.

Abdul Fattaah berkata kerjaya sebagai pemandu Grab juga membantunya menambah keyakinan diri ketika berinteraksi dengan orang lain.

“Paling utama, kerja ini memberi pendapatan tambahan kepada saya dan keluarga memandangkan agak sukar untuk mencari kerja sampingan lain,” katanya.

Bagi Preeshan Thas, 30, kewujudan aplikasi mesra pengguna memudahkan dirinya berkomunikasi dengan pelanggan.

“Sebelum ini, memang orang tak tahu saya ada masalah pendengaran sehinggalah mereka (pelanggan) cuba berbual. Bila mereka tahu dan hendak bertanya sesuatu, mereka akan taip di telefon dan tunjuk kepada saya. Kewujudan aplikasi bahasa isyarat dan ‘flash card’ yang disediakan Grab sangat membantu kami dan pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, kempen #BreakTheSilent tersebut membuktikan wujud peluang sama rata dalam bidang pekerjaan termasuk di Grab.

“Saya yakin ini cara terbaik bagi golongan masalah pendengaran untuk menambah pendapatan memandangkan mereka ini sukar mendapat kerja sampingan di luar sana,” katanya.

Sean Geoh pula berkata kempen itu dibuat untuk membantu melancarkan komunikasi antara pemandu masalah pendengaran dan pengguna melalui kad-kad bantuan asas bahasa isyarat.

“Lebih menarik, golongan masalah pendengaran ini berjaya menambah pendapatan sampingan mereka sehingga 37 peratus sebagai pemandu Grab,” katanya. Terdapat kira-kira 200 pemandu Grab dengan masalah pendengaran di negara ini.

— BERNAMA