JAKARTA – Sekurang-kurangnya 384 orang meninggal dunia, 540 orang cedera
manakala 29 lagi hilang ketika pasukan penyelamat menjalankan operasi di
bandar Palu yang terletak di Sulawesi Tengah hari ini, sehari selepas wilayah
tersebut dilanda gempa bumi dan tsunami.
“Bilangan yang dikemaskini menunjukkan sekurang-kurangnya 384 orang mkeninggal, 29 orang hilang dan 540 orang mengalami kecederaan. Bandar Donggala masih tidak dapat diakses kerana hubungan telah terputus. Satu pasukan telah dikerah ke wilayah itu,” kata jurucakap Agensi
Mitigasi dan Bencana Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho pada taklimat media seperti dipetik The Jakarta Post.
Sutopo menambah, bilangan mangsa mungkin meningkat kerana pasukan penyelamat masih belum sampai di kawasan yang terjejas.
Beberapa gempa bumi menggegarkan wilayah Donggala di Sulawesi Tengah semalam, yang mana gegaran bermagnitud 7.4 berlaku pada pukul 6.02 petang waktu tempatan.
Gempa bumi kuat itu disusuli tsunami setinggi antara 0.5 meter hingga 3 meter melanda sebahagian pantai Donggala dan Talise di Palu.
Sutopo berkaata, gempa bumi itu mengakibatkan kerosakan di tujuh buah stesen tenaga milik syarikat elektrik negeri, PLN di Palu dan Donggala.
Gangguan bekalan elektrik menyebabkan hubungan komunikasi terputus di kawasan terbabit dan menyukarkan orang ramai berkomunikasi dan agensi
terbabit mengumpul maklumat.
“Gempa bumi yang berlaku semalam di Sulawesi Tengah adalah lebih besar
daripada yang melanda Lombok. Ia (pusat gempa bumi) berada di kawasan yang tidak dalam, hanya pada kedalaman 10 kilometer. Selain itu, ia disusuli tsunami yang merosakkan kawasan berhampiran pantai. Kami percaya bilangan mangsa akan meningkat,”katanya.
Bencana itu telah memusnahkan pusat beli belah terbesar di Palu selain merosakkan jambatan Ponulele yang menghubungkan barat dan timur Donggala.
Tsunami itu juga telah merosakkan bangunan yang terletak berhampiran
pantai yang mana Festival Nomoni Palu sedang diadakan pada petang semalam.
“Beratus-ratus orang menyertai acara itu dan kami masih tidak mempunyai
berita mengenai keadaan mereka,” kata Sutopo. – Agensi