KUALA LUMPUR – Perang dan gerakan saraf pihak lawan yang berterusan serta penilaian negatif rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah menghancurkan segala-galanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, serangan secara berpusat oleh pihak lawan telah berjaya mempengaruhi rakyat.
“Lawan kita melakukannya menerusi pembohongan dan penipuan secara berterusan, melalui penyebaran fitnah dan penyaluran maklumat separuh benar. Inilah kepakaran mereka.
“Tidak aneh, inilah yang mereka lakukan sehingga kini, walaupun mereka telah membentuk kerajaan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di PWTC di sini, malam ini.
Menurut Ahmad Zahid, pihak lawan secara halus dan berperingkat telah melancarkan serangan bertali arus ke atas UMNO dan BN.
Katanya, mereka telah mereka jalan cerita yang disusun rapi untuk memperbesar-besarkan semua
kesalahan dan kelemahan BN serta barisan kepimpinannya.
“Kita bagaikan sebuah bahtera di lautan penuh bergelora. Walaupun layar bahteranya robek, setiap anak kapalnya tidak akan meninggalkan bahtera perjuangan.
“Jauh sekali terjun meninggalkan bahtera atau mematahkan tiang seri layarnya, serta menebuk dinding bahtera dari dalam. Tindakan ini pasti menyebabkan pelayaran bangsa kita tergugat!
“Yakinlah, nakhoda dan kelasi yang baik, bukan datang dari pelayaran di lautan yang tenang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, keputusan mengejutkan pada PRU14 lalu tambah memeritkan apabila ada segelintir anggota parti bertindak keluar UMNO.
Katanya, pelbagai alasan diberi namun, ahli UMNO tetap bijak menilai hati budi mereka.
“Mereka ini bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tidak kurang pula yang mula condong dan mahu beralih arah.
“Namun, masih ramai lagi yang kekal setia, berdiri teguh dan gagah menjulang obor perjuangan, demi agama, bangsa dan tanah air kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette