KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tujuh teras untuk mengembalikan hala tuju parti yang perlu disokong oleh semua ahli parti.
Menurutnya, tujuh teras itu merangkumi 21 langkah untuk mebolehkan UMNO mencapai kembali kejayaan.
“Tujuh teras ini adalah hasil daripada rumusan sewaktu kita mengadakan pemukiman baru-baru ini, membabitkan perkara-perkara seperti Perlembagaan, Keahlian, Struktur Parti, Perkaderan dan Latihan, Penerangan dan IT, Tawaran Baharu serta Program Tumpuan dan Institusi Dalaman UMNO.
“Rumusan pemukiman ini membuktikan bahawa proses membuat keputusan adalah dengan mengambil kira pendapat daripada bawah.
“Inilah antara proses syura yang sering saya utarakan. Keputusan dibuat secara bersama, dan sikap bertanggungjawab juga seharusnya secara bersama. Jangan biarkan saya keseorangan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC di sini malam ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan langkah berdiam dan perlahan yang diambil olehnya selama ini dalam menentukan hala tuju parti selepas memegang jawatan sebagai Presiden UMNO.
“Maaf..sebenarnya, saya perlu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengurusan dalaman parti, terutamanya bagi mengekang usaha-usaha melemahkan UMNO.
“Diam itu emas, bertindak itu berlian,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, umum mengetahui bahawa harta UMNO mahu disita malah, akaun parti itu juga telah dibekukan.
Katanya, terdapat juga dalam kalangan ahli parti yang mendapat tekanan apabila disiasat dan ada juga yang diheret ke mahkamah.
Di samping ujarnya, terdapat usaha untuk mengharamkan parti yang telah diwujudkan lebih 72 tahun lalu.
“Kita sedang bergelut dalam suasana akaun parti yang dibekukan. Hingga hari ini ia masih belum lagi mendapat pelepasan.
“Saya menyeru kepada pihak berwenang, janganlah berlaku zalim dan tunduk serta takut kepada arahan Sang Penguasa. Ikutlah peraturan yang sedia ada, jangan menindas dan melakukan gertakan murahan..Rakyat melihat dan menilai setiap tindakan-tindakan itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette