KUALA LUMPUR- MIDF Amanah Investment Bank Bhd. Research mengunjurkan FBM KLCI mencecah 1,900 mata pada 2019 dan dalam masa yang sama mengekalkan ramalan bagi 2018 dengan 1,800 mata.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penyelidikan itu berkata, Brexit, sekatan Iran dan perang perdagangan AS-China memberi kesan kepada sentimen pasaran bagi semua kelas aset pada suku sekarang.
“Ekonomi tumbuh pada kadar 4.5 peratus pada suku kedua 2018, lebih rendah berbanding unjuran kami iaitu 4.9 peratus dan ramalan pasaran pula adalah 5.2 peratus.
“FBM KLCI pula naik tujuh peratus pada suku ketiga berbanding menguncup sembilan peratus pada suku kedua yang lalu, selari dengan perkembangan pasaran-pasaran pesat membangun dan Asia.
“Dalam pada itu, pasaran ekuiti tempatan juga menyaksikan aliran keluar menyeluruh dana asing setakat ini sebanyak RM8.7 bilion,” katanya.
Tambah MIDF, perkembangan geopolitik akan terus mempengaruhi sentiment pelabur di Malaysia dan di peringkat serantau pula ia akan memberi kesan kepada eksport, tukaran matawang asing dan prestasi pasaran modal.
Namun begitu, kestabilan inflasi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar serta jangkaan terhadap reformasi dasar negara meletakkan Malaysia pada asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran global.
“Kami tidak sabar untuk menyaksikan Semakan Semula Pertengahan Penggal Rancangan Malaysia ke-11 serta pengumuman Bajet 2019 yang akan memberi gambaran yang lebih jelas terhadap perubahan polisi pada masa akan datang,” katanya.-MalaysiaGazette