Home Nasional Keluarga Ri Jong-chol mungkin bersembunyi

Keluarga Ri Jong-chol mungkin bersembunyi

Suspek tahanan reman warga Korea Utara, Ri Jong Chol (kanan) dibawa masuk kembali ke lokap dipercayai selepas disiasat sambil diiringi anggota polis berikutan kes kematian Kim Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara yang dipercayai mati dibunuh di KLIA2 pada 13 Februari lalu, di Ibu Pejabat Daerah Polis Sepang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Keluarga ahli kimia Korea Utara Ri Jong-chol, yang ditahan berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, mungkin sedang menyembunyikan diri.

Ini susulan penangkapan Jong-chol oleh polis pada 17 Feb bagi membantu penyiasatan mengenai pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), empat hari sebelum itu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 47 tahun itu berakhir esok.

Tinjauan Bernama di sebuah unit kondominium di Jalan Kuchai Lama, tempat tinggal terakhir keluarga itu, mendapati ia berkunci.

Menurut seorang jiran, isteri suspek dalam kes pembunuhan itu serta dua anak mereka, meninggalkan unit berkenaan secara tergesa-gesa beberapa jam selepas Jong-chol, juga seorang pakar IT, ditangkap.

“Saya tidak tahu mereka (keluarga Jong-chol) pergi ke mana. Isteri dan anak-anak Jong-chol pergi dengan tergesa-gesa. Kami masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Wartawan Bernama yang membuat tinjauan ke unit kediaman keluarga itu dan cuba mendapatkan maklumat tempat mereka mungkin berada, diiringi dua pengawal keselamatan, yang memberi amaran supaya tidak merakam sebarang gambar atau peralatan kamera akan dirampas.

Bernama difahamkan bahawa penduduk kondominium itu meminta kawalan keselamatan dipertingkatkan berikutan penangkapan Jong-chol.

Dua suspek lain, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 28, rakyat Vietnam, dikenakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Sepang semalam, berhubung pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara yang hidup tersisih itu.

Menurut laporan, Jong-nam berada di klia2 pada 13 Feb untuk menaiki pesawat ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu mukanya dengan cecair toksik, yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf ‘VX’.

Jong-nam, yang dilaporkan meminta pertolongan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang selepas itu, segera diberi bantuan untuk dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana.

Mangsa tiba di Malaysia pada 6 Feb.

— BERNAMA