Home Ekonomi Malaysia anjur persidangan untuk yakinkan pelabur

Malaysia anjur persidangan untuk yakinkan pelabur

LGE
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Satu persidangan pelaburan bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia akan diadakan pada 9 Oktober.

Persidangan bertemakan “Malaysia: A New Dawn” itu juga akan membuka peluang pelabur-pelabur tempatan dan antarabangsa berkongsi matlamat dan pendekatan dalam menyelesaikan, serta mengatasi pelbagai cabaran terutamanya isu-isu berkaitan fiskal.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, hasil perkongsian idea semasa persidangan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digunakan untuk Belanjawan 2019.

“Objektif utama persidangan ini adalah untuk menyampaikan aspirasi Kerajaan kini dan masa hadapan serta mengukuhkan keyakinan pihak industri terhadap pentadbiran Kerajaan baru.

“Persidangan ini juga akan menyumbang kepada intipati dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November 2018 kelak,” katanya.

Tambah Guan Eng, beberapa aspek yang bakal dibincangkan pada persidangan ini nanti adalah kelestarian infrastruktur, rumah mampu milik, komoditi pertanian dan kesejahteraan sosio-ekonomi Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan ucapan penutupan pada persidangan itu.

Persidangan yang dianjurkan oleh kumpulan perbankan Malaysia, Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) dan RHB Banking Group (RHB) akan dihadiri 2,00 pengurus-pengurus dana, pelabur, bank dan pemimpin korporat dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette