KUALA LUMPUR- Malaysia dan Switzerland akan membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada pakar dari kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam isu berkaitan minyak sawit.
Perkara tersebut dipersetujui semasa mesyuarat di antara Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan ketua Jabatan Hal Ehwal Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan Persekutuan Switzerland, Johann Schneider-Ammann di sini hari ini.
Menurut Kementerian Industri utama, jawatankuasa khas itu akan meneroka peluang berkaitan kemapanan, perdagangan dua hala, pertukaran teknologi saintifik yang relevan dan kerjasama dalam membangunkan aplikasi industri hiliran.
“Kedua-dua menteri itu bersetuju bahawa jawatankuasa tersebut mampu menangani banyak sentimen negatif yang berkaitan dengan minyak kelapa sawit di Switzerland dan juga merupakan alat penting bagi memastikan petani rapeseed tempatan yang mengimport minyak sawit tidak terancam pada masa hadapan, “katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Teresa, pertemuan dua hala itu akan meningkatkan eksport langsung minyak kelapa sawit ke Switzerland bahkan dapat membantu menarik pelaburan langsung Switzerland melalui penyedia teknologi untuk pelbagai aktiviti hiliran minyak sawit.
Pertemuan itu diadakan pada masa yang amat penting kerana sejak 25 September lalu, Parlimen Switzerland berjaya menundukkan gerakan menyekat pengimportan minyak kelapa sawit dan aplikasinya ke Switzerland.
Pergerakan itu dipacu oleh kebimbangan mereka terhadap penghasilan minyak sawit tidak lestari yang disebabkan oleh penebangan hutan. – MalaysiaGazette