KUALA LUMPUR – Masyrakat Sikh dan kaum minoriti di negara ini tidak menerima permohonan maaf dari blogger Raja Petra Kamaruddin.
Hal itu ditegaskan Pengasas dan juga Naib Presiden Kanan Parti Hak Minoriti Malaysia (MiRA), S. Gobi Krishnan selepas pihaknya selesai membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini, hari ini.
Menurut pemimpin parti strategik Pakatan Harapan (PH) itu, pihaknya menyifatkan permohonan maaf oleh blogger berkenaan dibuat secara tidak jujur, apatah lagi ikhlas.
“Walaupun dia telah membuat permohonan maaf, tetapi itu (permohonan maaf) tidak ikhlas. Dia tidak membuat permohonan maaf secara jujur dan ikhlas.
“Dia tidak membuat permohonan maaf kepada kaum Sikh keseluruhannya. Dia hanya mohon maaf kepada Datuk (Seri) Amar Singh (Ketua Jabatan Siasayan Jenayah Komersial) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sahaja.
“Jadi, permohonan maaf itu tidak boleh diterima. Tidak laku,” katanya kepada pemberita di luar Balai Polis Dang Wangi, hari ini.
Beliau berharap, dengan laporan itu, bukan sahaja polis, malah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) juga perlu mengambil tindakan segara sewajarnya ke atas Raja Petra Kamaruddin yang disifatkan sebagai penulis upahan pihak tertentu.
Mengulas lanjut mengapa pihaknya tidak menerima permohonan maaf itu, S. Gobi berkata, bukan sekali blogger yang tinggal di United Kingdom itu menghina masyarakat Sikh.
Katanya, sebelum ini ada dua penghinaan telah dilakukannya iaitu mengatakan masyarakat Sikh seumpama anjing dan turut mendakwa kaum ini lebih teruk dari Taliban, ekstrimis dan pengganas.
“Ketiga-tiga kenyataan penghinaan yang dilemparkan ke atas masyarakat Sikh ini yang kita tidak boleh terima permohonan maafnya dan kita anggap permohonan itu tidak jujur dan tidak ikhlas.
“Rakyat Malaysia boleh lihat penghinaan itu dalam tulisan beliau yang disiarkan menerusi blog dan laman sosial miliknya. Ia telah mengguris hati dan perasaan masyarakat minoriti,” ujarnya.
Beliau turut memberi tempoh beberapa hari kepada polis untuk bertindak dan jika tidak ada sebarang tindakan diambil, pihaknya akan berarak ke Bukit Aman untuk menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara.
S. Gobi menjelaskan, penghinaan terhadap kaum minoriti tidak seharusnya berlaku lagi ketika negara sudah 61 tahun mencapai kemerdekaan.
“Kita tidak mahu perkara sebegini berlaku. Cukuplah. Kita sekarang berada dalam Malaysia baharu. Kefahaman mengenai kaum minoriti sepatutnya lebih sofistikated, bukan masih di tahap cetek.
“Kita sedar, kerajaan baharu cuba mengubal satu akta untuk membolehkan tindakan diambil jika ada penghinaan terhadap mana-mana kaum dan agama. Kita minta ia disegerakan,” katanya.
Mengenai parti MiRA, S. Gobi berkata, parti itu ditubuhkan tahun 2013 dengan keahlian seramai 15,000 di seluruh negara melibatkan kaum Sikh, masyarakat Orang Asli dan sebagainya,
Katanya, parti itu akan ke hadapan dalam memperjuangkan nasib kaum minoriti, termasuk jika ada penghinaan terhadap mereka. – MalaysiaGazette