Home Politik Saiful lancar serangan pertama ke atas Anwar

Saiful lancar serangan pertama ke atas Anwar

Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan (kanan) ketika menghantar borang pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Calon bebas Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, Saiful Bukhari Azlan akhirnya memulakan serangan pertama ke atas pesaingnya dengan menggelar, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai insan yang tidak ada maruah diri.

Saiful yang juga bekas pembantu peribadi kepada calon Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa Anwar tidak memegang pada prinsip ketelusan dan menentang rasuah yang dilaung-laungkan apabila mengunakan wang rakyat untuk menjadi ahli Parlimen.

Dakwanya, Anwar menggunakan PRK berkenaan untuk agenda politik peribadinya hingga Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan perbelanjaan daripada wang rakyat sebanyak RM3.6 juta.

“Ini tidak termasuk perbelanjaan wang Polis dan agensi media yang saya anggarkan RM10 juta untuk PRK ini.

“Saya ada baca komen-komen orang di luar, kamu (saiful) tidak ada maruah ke, tak malu ke bertanding…kalau saya (Saiful) jadi Anwar Ibrahim, saya lagi malulah kerana kamu gunakan duit rakyat untuk mengangkat agenda peribadi, itu ada maruah ke, itu satu yang betul ke,” kata Saiful dalam sidang media khas di Teluk Kemang di sini.

MGF02102018_KEMPEN SAIFUL BUKHARI_14
Calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan melancarkan Tabung Khas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di sekitar restoran PD Famous Cendol Coconut Shake, Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2018

Selepas hari penamaan calon pada 29 September lalu, Saiful membuat penampilan pertama menerusi sidang media yang melancarkan tabung khas dana ‘Tabung RM1’ untuk membiayai perjalanan kempen PRK.

Dalam perkembangan sama, Saiful juga menempelak bekas ahli Parlimen kawasan itu Danyal Balagopal Abdullah yang mengkhianati mandat pengundi PD aapabila meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.

Katanya, rakyat Malaysia hanya mengundi lima tahun sekali memilih kerajaan baharu, tetapi orang Port Dickson akan mengundi lima bulan sekali.

“Kamu berundur dan kamu mengiring calon untuk undi semula, rakyat bukan bodoh..kamu perbodohkan mereka, lepas itu kamu (Danyal) cakap akan jadi mata dan telinga dia (Anwar).

“Orang sudah pilih kamu sebelum ini dan buat apa nak jadi mata dan telinga calon ini (Anwar). Mana pergi maruah kamu? sanggup lagi pergi meraih undi.

“Berapa jam nak orang undi..sejam dua jam..tidak rasa bersalah ke orang tua beratur lama untuk mengundi dan ini suruh datang lagi?,” bidasnya lagi.

Saiful menyifatkan cabaran sukar pada PRK kali ini untuk memperolehi peratusan keluar mengundi.

“Kalau dapat 50 peratus keluar undi pun bersyukurlah…bahawa orang masih undi.

“Kalau lihat keputusan PRK Balakong, Sungai Kandis dan Seri Setia peratusan keluar undi tak sampai 50 peratus. Kalau menganggarkan ikut mood pengundi, 50 peratus sahaja mungkin undi. – MalaysiaGazette