Home Nasional Malaysia akan dapat semula gelaran Harimau Asia – Dr Mahathir

Malaysia akan dapat semula gelaran Harimau Asia – Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto HAZROL ZAINAL

SUBANG – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yakin ekonomi negara akan kembali pulih dengan kehadiran lebih banyak pelabur asing sekali gus mengembalikan semula gelaran Harimau Asia.

Beliau berkata, keyakinan itu disandarkan hasil pertemuan beliau dengan pemimpin dunia termasuk pelabur asing sewaktu berada di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) baru-baru ini.

“Selama 10 hari lawatan kerja, saya menjalankan tugas seperti dirangka, buat ucapan di UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) (PBB) dan buat pertemuan dengan ramai pentadbir dunia di AS dan UK untuk menjelaskan dasar Pakatan Harapan yang sudah menjadi kerajaan di Malaysia.

“Mereka berpuas hati dan ramai berjanji akan datang untuk melabur,” katanya ketika berucap selepas tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang, selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sesi ke-73 dari 25 hingga 29 Sept lalu dan lawatan kerja ke UK.

Ketibaan Perdana Menteri hari ini disambut Timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman; Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Ching Tong; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dan ratusan orang awam yang sabar menanti sejak pukul 5 petang, walaupun dalam keadaan hujan lebat dan basah.

Jelas Dr Mahathir, kerajaan akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di semua peringkat termasuk pegawai kerajaan, pekerja mahir dan jurutera terlatih bagi mengeluarkan produk canggih bertaraf antarabangsa dan bernilai tinggi dalam usaha menarik kehadiran pelabur asing.

“Saya merayu rakyat Malaysia buat persediaan dan jangan hampakan mereka (pelabur) yang hendak tolong negara kita dan melabur di Malaysia.

“Kita akan kerja keras dan kita akan keluarkan barang yang berkualiti untuk tunjuk kepada dunia bahawa Malaysia sudah dipulihkan dan mahu kembali menjadi Harimau Asia,” katanya.

Dr Mahathir percaya dan berharap agar ekonomi negara akan kembali pulih sekali gus lebih banyak hasil dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia daripada lawatannya ke kedua-dua negara besar itu.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UK melalui Perdana Menterinya, Theresa May, kerana berkongsi dengan Malaysia langkah menangani korupsi. – MalaysiaGazette