PORT DICKSON – Sebagai calon muda dan masih bertenaga, Saiful Bukhari Azlan yang bertanding atas tiket bebas bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson percaya beliau mampu memberi seluruh jiwa dan raga kepada penduduk di parlimen tersebut jika diberi peluang kelak.
Beliau turut memberi jaminan bahawa keputusannya untyk bertanding tidak berasaskan agenda peribadi, dan jika ditakdirkan menang sekali pun, kedudukannya hanya sebagai ahli Parlimen dan bukannya mahukan apa-apa jawatan.
“Juga jaminan saya tidak akan letak jawatan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditanya apakah keutamaannya jika beliau menjadi pilihan pengundi di P132 itu pada 13 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Saiful berkata, beliau memandang berat trend wakil rakyat meletakkan jawatan tanpa sebab munasabah seperti yang berlaku sekarang ini.
Katanya, jika terpilih kelak, perkara pertama yang akan dicadangkan kepada Parlimen dan Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan raya adalah mengenakan hukuman yang lebih berat kepada wakil rakyat yang bertindak sedemikian.
“Dia perlu dikenakan denda RM2 juta hingga RM3 juta,” tegasnya.
Sementara itu Saiful, ketika ditanya, mengapa beliau memilih bertanding atas kapasiti bebas berkata, setakat ini, tiada satu parti politik yang selari dengan jiwanya.
Katanya, selepas membuat keputusan untuk menjadi calon bebas, Saifulmendapati perjuangannya itu selari dengan apa yang beliau cari selama ini yang sememangnya tidak ada dalam mana-mana parti politik.
“Ya di situ saya dapat lihat ia selari dengan saya iaitu sebagai seorang yang bebas, tapi pegangan agama masih Islam.
“Di situlah saya dapat menceburi bidang politik tanpa mana mana parti sekarang,” katanya.
Ditanya adakah beliau anak kelahiran Port Dickson, Saiful berkata, beliau sebenarnya dilahirkan di Johor tetapi membesar di Seremban.
Saiful yang merupakan bekas pegawai peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersaing dengan bekas bosnya itu, selain lima lagi calon iaitu Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mewakili Pas dan Tan Sri Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen. – MalaysiaGazette