Home Utama Selamat tinggal MCA, kata Khairy

Selamat tinggal MCA, kata Khairy

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

AMPANG – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merasakan sudah tiba masanya Barisan Nasional (BN) mencari parti komponen baharu bagi menggantikan MCA untuk memperkukuh sokongan komuniti Cina.

Beliau berkata, keperluan itu timbul susulan MCA masih gagal memulihkan kepercayaan masyarakat Cina kepada BN sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 hingga PRU14 pada 9 Mei lalu.

“Mungkin sudah tiba masanya kita perlu ada parti komponen Cina baharu susulan MCA masih tidak pulih.

“Mungkin ada orang lain boleh masuk BN dan perkukuhkan sokongan kita dalam kalangan komuniti Cina.

“Kalau MCA tidak berminat dengan kita (BN) lagi, terima kasih, selamat tinggal dan kita cari orang lain. Kalau MCA nak bersama, duduk dan bincang macam nak perkukuhkan BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan We Rock The Specktrum Kid’s Gym di Melawati Mall, di sini, hari ini.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin merasmikan majlis pembukaan Gimnasium Kanak-Kanak pelbagai spektrum “We Rock The Specktrum” di Melawati Mall, Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 06 OKTOBER 2018.

Beliau mengulas kenyataan calon Presiden MCA, Gan Ping Sieu yang menggesa MCA keluar dari BN sebagai tanda protes terhadap langkah UMNO yang mula bekerjasama dengan Pas sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia pada 8 September lalu.

Khairy menyifatkan cadangan calon Presiden MCA itu sebagai tuntutan tidak realistik terhadap UMNO.

“Benar kita bekerja dengan Pas tapi bukan secara rasmi macam dalam BN, kita belum putuskan apakah gabungan dengan Pas dalam beberapa tahun ini.

“Tapi kita masih sebahagian daripada BN, kita mahu perkuatkan BN,” katanya.

Kata Khairy, sewajarnya MCA tumpu kepada pemilihan parti itu dan memperkukuhkan masalah dalam parti komponen BN itu sendiri.

“Mereka lebih mudah tuding jari kepada UMNO dan parti-parti lain, tapi jangan lupa MCA hanya tinggal satu kerusi Parlimen.

“Jangan lupa juga MCA perlu berhadapan krisis dalaman mereka sendiri di mana komuniti Cina sendiri tidak menyokong mereka lagi.

“Saya cadang MCA lihat diri mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette