ALOR SETAR – Kerajaan tetap komited terhadap janji mereka untuk memberikan sebanyak mungkin ruang pekerjaan kepada pencari kerja seperti yang terkandung dalam manifesto PRU14.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, untuk itu kerajaan akan mencari kaedah terbaik bagaimana janji berkenaan dapat ditunaikan selaras dengan kemampuan kerajaan.
“Kerajaan PH sentiasa sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada rakyat dalam konteks mengisi ruang pekerjaan ini.
“Ia berdasar kepada kemampuan kerajaan dari semasa ke semasa dan dalam tempoh lima tahun ini akan kita usahakan perkara ini (memberikan pekerjaan),” katanya selepas merasmikan Program Job Fair@UTC 5.0 2018 di sini, hari ini.
Pada PRU lepas PH berjanji untuk memberikan sebanyak mungkin pekerjaan berkualiti kepada rakyat melalui manifesto mereka.
Mengulas perkara itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah itu berkata kerajaan mengharapkan rakyat agar tidak bergantung untuk bekerja dalam sektor awam semata-mata yang kini semakin terhad.
“Pencari kerja kini semakin banyak dan sebahagian pengisian itu boleh diisi dalam sektor swasta. Mereka perlu membuat anjakan untuk memilih sektor swasta ataupun menjadi usahawan,” katanya.
Beliau berkata disebabkan itu kerajaan sangat menitikberatkan pendidikan kemahiran kepada golongan muda agar mereka menjadi usahawan yang berjaya selepas menamatkan pengajian.
Sementara itu, kira-kira 20,000 kekosongan pekerjaan diharapkan dapat diisi di seluruh negara melalui program berkenaan.
“Di Kedah sahaja terdapat lebih 1,000 kekosongan dan kita berharap pencari kerja ini dapat merebut peluang terbaik,” katanya.
Katanya di Kedah terdapat 19,000 kekosongan sebelum ini tetapi sehingga September lepas, 12,000 daripadanya telah diisi. – Bernama