IPOH – Kerajaan bercadang mengambil tenaga pengajar dari India dan Ukraine bagi melatih pelatih dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.
Katanya beliau akan ke India esok dan Ukraine pada bulan depan untuk mengadakan lawatan serta perbincangan berhubung latihan itu dengan kerajaan kedua-dua negara terbabit.
“Perlu mempunyai pakar bertaraf dunia tentang penerbangan, teknik metro, perkara teknikal, kecerdasan buatan dan beberapa lagi. Kami mahu membawa mereka di sini dan melatih pelatih kita sebagai usaha sama antara kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita pada Pameran Kerja di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini ,hari ini.
Kula Segaran berkata apabila pelatih memperoleh pengetahuan dan pengalaman daripada pakar, mereka dapat melatih pelajar dengan baik sekali gus membolehkan pelajar mendapat sijil yang diakreditasi.
Dalam pada itu, beliau menggesa pekerja syarikat mengambil kursus dalam program TVET bagi meningkatkan kemahiran mereka.
“Program TVET bukan hanya untuk lepasan sekolah, malah yang sudah bekerja juga layak menyertai program ini. Sebilangan besar syarikat sedia menaikkan gaji dengan syarat para pekerja mempunyai sijil yang diakreditasi,” katanya.
Sementara itu, Kula Segaran berkata majikan yang ingin menggaji semula pekerja asing yang telah dihantar hantar pulang ke negara mereka perlu menunggu tiga hingga enam bulan.
“Sesetengah majikan mahu pekerja mereka melanjutkan tempoh bekerja di sini melebihi 10 tahun. Mereka datang kepada kami dan meminta lanjutan dan kami boleh meluluskannya, tetapi mereka perlu membayar levi RM10,000, itu prosedurnya.
“Tetapi sekarang mereka (majikan) mahu menghantar (pulang) semula pekerja-pekerja. Kami tidak mempunyai masalah… mereka boleh menghantar balik dan memohon semula dengan membayar RM1,800, tetapi mereka perlu menunggu tiga hingga enam bulan,” katanya.
— BERNAMA