Home Utama Warga emas jangan banyak tidur – Tun M

Warga emas jangan banyak tidur – Tun M

Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) mencuba duduk diatas kerusi roda ‘Robotic Wheelchair’ ketika melawat ruang pameran turut serta isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali (tengah) pada Majlis Persidangan Sulung Hari Warga Emas Sedunia 2018 di Petrosains, Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 06 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati warga emas agar menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup yang aktif.

Perdana Menteri berkata, kebanyakan golongan itu selepas bersara lebih gemar menghabiskan waktu dengan aktiviti tidur.

Namun beliau menjelaskan, gaya hidup itu hanya membuatkan otot manusia menjadi lemah.

“Ini akan menyebabkan minda kita menjadi tidak kuat. Justeru warga emas perlu banyak bergerak agar otot sentiasa bertenaga.

“Warga emas juga disarankan rajin membaca dan menulis bagi memastikan minda kekal cerdas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan 2018 – Penuaan, Pembelajaran & Teknologi: Memperkayakan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti di Petrosains KLCC di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Sementara itu, Mahathir turut berkongsi rahsia mampu kekal cergas apabila terus bekerja di pejabat walaupun sehari baru tiba dari luar negara dengan menempuh tempoh penerbangan yang lama.

“Pastikan kita berehat secukupnya dalam perjalanan yang panjang itu,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi yang berusia 93 tahun itu juga mengulangi janjinya untuk bersara pada usia 95 dan tidak akan kembali lagi bekerja. – MalaysiaGazette