Home Politik PPBM nafi tidak mahu berkempen sebelum kehadiran Tun M

PPBM nafi tidak mahu berkempen sebelum kehadiran Tun M

Datuk Marzuki Yahya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2018.
Marzuki Yahya

PORT DICKSON – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menafikan dakwaan kononnya kepimpinan itu tidak mahu turun berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kehadiran Tun Mahathir Mohamad di Port Dickson.

Setiausaha Agungnya Senator Datuk Marzuki Yahya turut menyangkal spekulasi bahawa tindakan jentera kerja PPBM itu sudah terlewat dengan kempen berbaki tujuh hari lagi.

“Kami nafikan dakwaan kononnya PPBM tidak mahu turun sejak awal selepas penamaan calon 29 September lalu dan hanya mahu turun berkempen selepas Tun Mahathir mengumumkan kehadiran 8 Oktober ini.

“Ini memang tidak benar sama sekali.Kita bekerja seperti biasa dan kehadiran Tun amat dialu-alukan.

“Kemunculan pemimpin nombor satu negara itu juga pasti akan memberi impak besar kepada gerakan PPBM negeri ini dalam merai sokongan pengundi untuk memenangkan calon Pakatan Harapan (Anwar) kita,” katanya dalam sidang media khas di Bilik Gerakan Bersatu di Taman Era PD, Kampung Paya malam tadi.

Katanya, jentera PPBM Negeri Sembilan ditugaskan di Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang sebagai kubu di bawah pemantauan PKR Selangor.

Katanya, pihaknya menetapkan sasaran 70 peratus keluar mengundi sepertimana disasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini dan menyuarakan keyakinannya memastikan peratusan keluar undi meningkat dari PRU lepas.

“Ini kerana di sini majoriti pengundi Melayu dan di DUN ini jugalah kita jadi calon pada PRU lalu dan parti sekutu PH menggerakkan jentera dan berkempen mengikut kawasan DUN.

“Gerak kerja telah jalan dan esok jentera kita dari Pulau Pinang dan Perak akan tiba dan kita akan mengguna pakai strategi dekati pengundi dari rumah ke rumah.

“Kita juga akan memastikan peraih undi dari jentera PPBM bertugas sepenuhnya pada hari mengundi (13 Oktober) memastikan semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka.

“Kita akan meggunakan pendekatan sama sepertimana rakan PH kami iaitu menelefon dan bertemu semuka secara individu memujuk pengundi supaya meminta ahli keluarga atau saudara yang berada di luar kawasan PD turun pada hari mengundi,” tegasnya. – MalaysiaGazette