PORT DICKSON – Kemelut dan pergolakan dalaman yang menyelubungi kepimpinan Pertubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan telah berakhir sepenuhnya.
Setiausaha Agungnya Senator Datuk Marzuki Yahya berkata, kepimpinan baharu parti sekutu Pakatan Harapan di Negeri Sembilan itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Rais Yatim.
“Pengumuman rasmi mengenai kepimpinan baharu PPBM di Negeri Sembilan akan diumumkan secara rasmi oleh pengerusinya sendiri iaitu Tan Sri Rais Yatim selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson nanti,” katanya dalam sidang media khas di Taman Era PD, Kampung Paya malam tadi.
Tambah beliau, pergolakan yang berlaku di dalam PPBM di negeri itu akibat perebutan kuasa dan jawatan oleh segelintir pihak dari parti itu sendiri namun semuanya berjaya ditangani.
Timbalan Menteri Luar itu turut ditanya mengenai khabar angin serta spekulasi di luar yang mendakwa kononnya PPBM di Negeri Sembilan telah dibubarkan sepenuhnya.
“Saya sedia maklum ada khabar angin sebelum ini mengatakan kononnya PPBM telah dibubarkan di Negeri Sembilan.
“Saya hendak memaklumkan di sini bahawa segala anggapan yang dispekulasikan di luar mengenai parti ini adalah salah.
“Kita hanya membubarkan kepimpinan parti di negeri ini bukan parti dan kita telah berjaya menyusun kembali parti kita dan diketuai oleh Rais Yatim dan Timbalannya Eddin Syazlee Shith,” ujar beliau.
Dalam perkembangan yang sama beliau memberitahu kepimpinan baharu berkenaan juga akan menyusun kembali bahagian-bahagian parti di negeri tersebut secara berperingkat selepas ini.
“Hari ini kita sedang bergerak ke hadapan dalam PRK hingga 13 Oktober ini dan spekulasi Bersatu tidak ada komitmen adalah salah.
“Kita dapat melihat rakan-rakan PPBM dari Kedah dan Johor turun malam ini bantu jentera kita di sini dam kita akan meneruskan usaha kita dan pastikan bahawa tidak ada sabotaj dalaman parti dan akan dipastikan tidak akan berulang lagi,” ujarnya.
Dalam proses berkaitan, katanya kepimpinan parti kenal pasti dan tahu ada yang cuba sabotaj tetapi dapat diatasinya secara berkesan dan cuma segelintir sahaja terlibat. – MalaysiaGazette