Home Dunia Pertamina sediakan pam minyak mudah alih

Pertamina sediakan pam minyak mudah alih

Palu
Pertamina menyediakan pam minyak mudah alih untuk kemudahan penduduk Palu yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami.

PALU- Syarikat minyak dan gas Indonesia, Pertamina menyediakan pam minyak mudah alih di beberapa stesen minyak dekat sini selepas kejadian tsunami dan gempa bumi melanda Palu bagi membolehkan penduduk mendapatkan bekalan bahan api masing-masing.

Menurut Pengurus Komunikasi dan Tanggung Jawab Sosialnya, Roby Hervindo, pam minyak tersebut dibawa ke Sulawesi Tengah secara berperingkat melalui jalan air, udara dan darat.

Katanya, kira-kira 20 pam minyak telah diterbangkan dari Lapangan Terbang Cabe di Tangerang Selatan, Banten pada Selasa dan kini mula beroperasi di empat stesen minyak dekat Palu.

“Pesawat yang membawa peralatan tersebut perlu transit di Balikpapan atau Makassar bagi mengisi bahan api serta perlu beratur sebelum berlepas ke Palu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, enam pam minyak mudah alih telah mula beroperasi stesen gas J. Muhammad Yamin, stesen Jl. Ki Hajar Dewantara (empat), Jl. Dewi Sartika (lima) dan Jl. I Gusti Ngurah Rai (lima).- MalaysiaGazette