Home Nasional Hajat kebumi di Mekah tidak kesampaian

Hajat kebumi di Mekah tidak kesampaian

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bercakap kepada media selepas pengkebumian arwah bapanya seorang Tokoh Agama, Tan Sri Hassan Azhari di Makam Diraja Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 07 OKTOBER 2018.

SHAH ALAM – Hajat Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari Fathma untuk dikebumikan di tanah tempat kelahirannya di Kampung Syu’ib Amir di Mekah tidak dapat ditunaikan oleh ahli keluarganya.

Ini kerana keadaan tokoh guru al-Quran itu yang tenat sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir menyukarkan anak-anaknya untuk berbuat demikian.

Anak Allahyarham, Tan Sri Musa Hassan ketika ditemui berkata, ayahnya ada berbisik sebelum ini meminta agar beliau dikebumikan di tempat kelahirannya jika ajalnya tiba.

Namun, disebabkan keadaannya yang uzur akibat kanser limfoma dan kematiannya lebih awal, pihak keluarga memutuskan agar Allahyarham dikebumikan di sini, katanya.

“Allahyarham ada meminta untuk melakukan sujud terakhir kerana telah dipanjangkan umur dan kami telah membantu untuk beliau menunaikannya.

“Beliau buat begitu kerana nak minta ampun kepada Allah atas dosa-dosa yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya,” kata Musa.

Musa yang merupakan bekas Ketua Polis Negara berkata, saudara mara sebelah ayahnya di Mekah juga sudah dimaklumkan mengenai berita sedih itu.

Allahyarham Hassan, 90, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pukul 5.07 petang semalam.

Allahyarham menjadi pengajar rancangan Muqaddam selama lapan tahun di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1970-an.

Tokoh Maal Hijrah 2002 itu juga pernah melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham juga merupakan hakim pertandingan Tilawah al-Quran paling lama berkhidmat dalam negara selama 46 tahun. – MalaysiaGazette

Sujud syukur terakhir Hassan Azhari