KUALA LUMPUR – Harga minyak mungkin mengalami kenaikan selepas kerajaan mewajibkan standard EURO-4M untuk RON95 yang akan dilaksanakan di seluruh negara.
Minyak dengan standard itu mengeluarkan sisa yang lebih rendah, justeru dapat mengurangkan masalah pencemaran udara.
Namun begitu, kandungan sulfur yang lebih rendah juga bermakna minyak akan menjadi lebih mahal.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Shell Malaysia, Datuk Abd. Wahid Bidin berkata, Eropah menggunakan standard EURO-7M yang berkualiti lebih baik dan pencemaran udara juga dapat dikurangkan.
“EURO-4M dapat membersihkan engin kereta dan mengurangkan pencemaran, tetapi harganya lebih mahal berbanding EURO-2M yang sedang digunakan di Malaysia.
“Ini kerana kosnya lebih tinggi, dan harga jualannya juga akan lebih tinggi,” katanya kepada China Press.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan belum membuat keputusan berkenaan penjualan EURO-4M serta mengenai isu subsidi dan penyelarasan harga.
“Kerajaan ada berbincang dengan kita, tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan.
“Kerajaan belum membuat keputusan, dan bukan semua orang boleh menikmati subsidi minyak,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution sebelum ini mengumumkan bahawa pelaksanaan penjualan EURO-4M yang sepatutnya bermula 1 Oktober telah ditunda kepada 1 Januari 2020. – MalaysiaGazette