Home Ekonomi KDNK bukan penanda kejayaan – Azmin

KDNK bukan penanda kejayaan – Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara tidak boleh dianggap sebagai kejayaan kecuali ia dapat diterjemahkan kepada faedah sebenar kepada rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertumbuhan ekonomi sebenar bermakna berlaku peningkatan kuasa beli rakyat.

Menurutnya, perkara ini boleh ditangani dengan mengambil langkah-langkah menangani jurang pertumbuhan merentasi negeri-negeri dan ketidaksamaan pendapatan.

Ia terutama membabitkan pendapatan kumpulan B40, pengangguran belia yang tinggi dan kenaikan kos sara hidup.

“Perdana Menteri akan membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11. Isu-isu cabaran-cabaran pembangunan akan dikenal pasti dan langkah-langkah menanganinya akan dicadangkan.

“Polisi-polisi sosio-ekonomi progresif akan diperkenalkan sebagai tambahan kepada pembaharuan-pembaharuan semasa institusi,” katanya.

Beliau menambah, kebimbangan lain yang timbul termasuk menangani cabaran struktur yang cemerlang, seperti kenaikan produktiviti buruh, memastikan pelaburan berkualiti dan inovasi dan mendorong industri meningkatkan rantaian nilai.

Beliau berkata, itu sebabnya kerajaan menggalakkan pelaburan langsung asing jangka panjang dalam pelaburan lapangan hijau kerana ia akan mewujudkan pekerjaan, meningkatkan daya beli dan membantu mewujudkan eko-sistem ekonomi yang lebih baik

Berbanding aliran masuk modal jangka pendek, yang mana ia mungkin dapat memberi keajaiban dalam pasaran saham namun ia tidak akan diterjemahkan ke dalam penciptaan nilai.

Untuk masa depan pula, Azmin berkata, pertumbuhan ekonomi akan terus dipacu oleh sektor-sektor berteknologi tinggi, bersandarkan potensi ekonomi digital dalam memastikan peralihan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Lantaran itu, menurut beliau, kerjasama sektor awam dan swasta adalah penting untuk memastikan kualiti pelaburan dan berinovasi, mengambil kira penduduk negara adalah rakyat yang paling ramai yang berhubung secara digital di dunia.

Kata Azmin, walaupun pasaran Malaysia kecil dengan hanya memiliki 30 juta penduduk tetapi sebagai sebahagian daripada ASEAN, rantau ini memiliki populasi seramai 650 juta.

“Dengan kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah ASEAN, ini membolehkan kita menguasai pertumbuhan, skala dan peluang yang ada,” ujarnya.

Menteri yakin perubahan-perubahan ini akan membantu negara menjadi lebih inovatif, inklusif, mampan dan menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette