PORT DICKSON – Kira-kira 72 peniaga kecil tempatan di sini menyatakan kesediaan mereka untuk membantu pengundi tempatan berulang alik ke tempat mengundi pada Pilihan Raya kecil (PRK) 13 Oktober ini.
Pengarah Jentera PRK Pakatan Harapan DUN Seri Tanjung, M Ravi berkata, kesemua peniaga itu tampil menawarkan khidmat kesukarelaan mereka membantu menyediakan pengangkutan untuk pengundi keluar mengundi.
“Mereka bertemu hari ini dalam majlis makan tengahari bersama calon kita Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sudah membuat ketetapan bantu PRK dengan menggunakan kenderaan sendiri membawa menghantar pengundi ke pusat daerah mengundi dan menghantar pulang ke destinasi asal masing masing pada hari mengundi.
“Mereka menyatakan hasrat atas kesukarelaan masing-masing tanpa sebarang paksaan politik atau niat lain, hanya satu azam iaitu menyokong penuh untuk kemenangan Anwar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Bagaimanapun kata beliau kemudahaan itu hanya dikhususkan kepada pengundi-pengundi yang tidak mampu dan kenalan serta saudara mereka yang berdepan kesulitan ke tempat mengundi.
Setakat ini katanya difahamkan ada 72 orang peniaga kecil akan mengambil peranan itu.
“Ingat selepas menurunkan pengundi di PDM, jangan terus cabut lari.. tunggu kerana selepas mengundi mengantar pulang mereka ke lokasi asal mereka datang.
“Di tempat mengundi msanya panjang dari 8 pagi hingga 5.30 petang dan sempat boleh mengambil tiga hingga lima orang pengundi,” ujarnya.
Ditanya peratusan pengundi yang sudah didekati dan dipujuk keluar mengundi pada Sabtu ini, Ravi yang juga ADUN Seri Tanjung itu berkata, setakat ini pihak jentera partinya selesai bertemu pengundi India dari rumah ke rumah sepenuhnya.
“Namun pihak kami hanya berdepan satu masalah sahaja iaitu ada sedikit pengundi dalam komuniti India ada bekerja di luar kawasan PD iaitu di Singapura, Johor dan kawasan lain.
“Kita bagaimanapun berjaya mengenalpasti 291 orang itu dan telah dihubungi yang mana sebahagian daripada mereka berjanji akan turun mengundi pada Sabtu ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette