Home Utama Hujan renyai saksi penyatuan dua jiwa

Hujan renyai saksi penyatuan dua jiwa

Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamed diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PH, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bersalaman bersama Ketua Umum PKR merangkap calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 08 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Suasana sekitar Port Dickson yang ditimpa hujan renyai menyaksikan pertemuan dua jiwa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) itu kali terakhir sepentas di khalayak ramai adalah pada 20 tahun lalu sebelum Anwar dipenjara.

Dr Mahathir yang memakai kemeja merah Pakatan Harapan tiba jam 10.00 malam dan terus dibawa ke pentas utama.

Laungan ‘Hidup Tun’ turut kedengaran sebaik Dr Mahathir memasuki pentas utama semasa Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu sedang membuat ucapan.

Terdahulu Anwar yang juga calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson hadir jam 9.20 malam di pentas bilik gerakan utama gabungan itu dan sambut dengan tepukan gemuruh penonton dan laungan ‘Reformasi’.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan isteri Anwar tiba 20 minit kemudian.

Dianggarkan lebih 2,000 orang hadir menyaksikan ceramah kedua-dua individu tersebut.

Turut kelihatan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Antara lain, calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan barisan Kabinet iaitu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

Anwar dan Dr Mahathir pernah bergandingan semasa berkhidmat sebagai menteri kewangan dan timbalan perdana menteri sebelum Presiden PKR itu dipecat pada 1998.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 September lepas, bagi membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 13 Oktober ini, manakala pengundian awal adalah pada esok hari.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – MalaysiaGazette