Home Nasional Ambil kesempatan kenaikan harga gula untuk sihat

Ambil kesempatan kenaikan harga gula untuk sihat

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) mahu orang ramai mengambil peluang untuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman berikutan kenaikan harga gula di pasaran.

Biro Media Perdim, Dr. Norzaidi Zakaria berkata, gula sebenarnya adalah antara salah satu penyebab utama peningkatan obesiti serta penyakit seperti diabetes, gout dan tekanan darah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengguna disaran menukar pengambilan makanan yang diproses yang mengunakan gula kepada bahan makanan yang lebih segar dan tidak diproses seperti perbanyakkan makan sayur-sayuran.

Sebagai contoh daripada kita mengambil kuih-muih yang kita ketahui kandungan gulanya tinggi sebagai sarapan pagi adalah lebih baik kita mengambil set nasi lemak yang lebih sihat, katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenaikan harga gula di pasaran tempatan berkuatkuasa 1 Mac lalu.

Dr. Norzaidi menambah, begitu juga, daripada minum teh tarik setiap pagi adalah lebih baik jika minum air suam, teh atau kopi tanpa gula yang lebih menyihatkan badan.

“Kita sering dinasihatkan oleh doktor mengurangkan pengambilan gula. Jadi dengan peningkatan harga gula pada masa ini, ia adalah masa terbaik untuk mematuhi saranan doktor itu.

“Penjual bahan makanan dan minuman pula bolehlah mengurangkan gula dalam sajian anda agar harga makanan dan minuman tidak meningkat.

“Dengan melakukan perkara di atas, para peniaga dapat membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sihat,” katanya. – MalaysiaGazette