PORT DICKSON – Pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson melihatkan seramai 7,268 pengundi melihatkan 6,690 pemilih adalah dalam kalangan anggota tentera dan pasangan mereka manakala 578 adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hanya satu pusat mengundi dibuka iaitu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi anggota PDRM berbanding dua di Kem Segenting dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) bagi anggota tentera.
Sejumlah 13 saluran mengundi akan dibuka mulai 8 pagi sehingga 5.30 petang.
Tinjauan Malaysia Gazette di IPD Port Dickson mendapati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersiap sedia untuk menjalankan proses undian awal.
Segala persiapan terutamanya tempat saluran mengundi telah siap untuk digunakan oleh petugas SPR.
Seramai 7 petugas SPR ditempatkan disini bagi melicinkan proses pengundian awal di lima saluran mengundi.
Proses pengundian awal itu disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan dan pemerhati-pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik SPR, juga turut menyaksikan proses pengundian awal ini.
PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk PresidenPKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.
Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai lima kerusi Dewan Undang Negeri iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) dan Sri Tanjung (PKR)
SPR menetapkan Sabtu ini (13 Oktober) sebagai hari pengundian.
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).
Kawasan ini merupakan kubu kuat PKR sejak 2008. – MalaysiaGazette