Zlatan Ibrahimovic mendapat pujian Jose Mourinho selepas penyerang veteran itu meledak dua gol bagi membantu Manchester United seterusnya merekodkan kemenangan keempat berturut-turut apabila menewaskan West Bromich Albion 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.
Pengurus United itu menghambur kata-kata pujian kepada Ibrahimovic selepas pemain antarabangsa Sweden itu menjaringkan gol pada awal kedua-dua babak perlawanan dengan The Red Devils kini berkongsi kedudukan kelima bersama Tottenham Hotspur apabila mengumpul 30 mata.
“Biar pun berada dalam tempoh yang dia tidak menjaringkan gol namun dia berjaya melakukannya dengan penuh menakjubkan. Tidak dinafikan dia sangat penting untuk kami untuk banyak sebab berbanding gol yang dijaringkan.
“Dalam dua perlawanan terakhir dia menjaringkan tiga gol dan membolehkan kami mengumpul enam mata dalam dua perlawanan di tempat lawan yang mana ia sangat penting.
“Dia tidak hadir disebabkan duit atau prestij. Dia hadir untuk menikmati permainan bola sepak dalam kerjayanya dan bermain dalam saingan liga terbaik dunia,” kata Mourinho.
Ibrahimovic, 35, kini sudah menjaringkan 16 gol sejak menyertai United pada musim panas lalu dan masih berbisa biarpun semakin di penghujung kerjayanya.
“Saya sangat bertuah dalam kerjaya saya kerana saya memiliki ramai pemain yang bersemangat tinggi dan pemain yang di hujung kerjaya serta mereka masih menunjukkan sikap yang menakjubkan.
“Namun, dia bukan sekadar pemain biasa. Dia dalam kedudukan yang mana kamu tidak boleh sembunyikannya dan bermain berdasarkan pengalamannya.
“Pemain pertahanan tengah mungkin boleh bermain sehingga tua tetapi sebagai penyerang kamu tidak boleh menyembunyikan perkara itu dan dia sedang melakukan yang terbaik,” kata Mourinho. – AFP