Home Nasional 40 peratus rakyat Malaysia derita sakit mental- Wan Azizah

40 peratus rakyat Malaysia derita sakit mental- Wan Azizah

Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap pada majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Kira-kira 40 peratus daripada warga Malaysia dikuatiri menghadapi masalah kesihatan mental, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, tinjauan Kementerian Kesihatan yang dilakukan pada tahun lalu mendapati seramai 18,336 orang menderita tekanan perasaan berdasarkan imbasan kesihatan ke atas 273,203 individu.

“Dari jumlah ini, 11,811 orang menderita tekanan perasaan ringan, 3,680 sederhana dan 1,682 tekanan perasaan teruk.

“Malah saya juga difahamkan mengikut Kajian Morbiditi Kesihatan yang dilaksanakan pada tahun 2015, hampir 30 peratus dari penduduk Malaysia mengalami pelbagai penyakit mental psikiatri.

“Antaranya, kemurungan, penyakit yang lebih serius seperti schizophrenia, percubaan membunuh diri dan lain-lain.

“Statistik ini sebenarnya sangat membimbangkan kita. Pada saya ini bukan pengukur yang baik bagi negara kita. Pihak kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia perlu meniliti kesihatan mental dari segi dasar.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Mental Health Foundation, Tan Sri Hashim Meon di sini Hari ini.

Jelas Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, gejala bunuh diri dalam kalangan masyarakat Malaysia juga semakin menjadi-jadi dan ia berlaku tanpa mengira bangsa dan ini boleh dipandang remeh.

Katanya, laporan terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan hampir 800,000 individu kehilangan nyawa akibat bunuh diri setiap tahun di seluruh dunia (satu nyawa bagi setiap 40 saat; kadar bunuh diri global – 11 orang bagi setiap 100,000 penduduk).

“Di Malaysia sahaja, kajian Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan 2009 menunjukkan kadar bunuh diri masih lagi rendah (1.18 bagi setiap 100,000 penduduk).

“Ramai pakar berpendapat jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi. Anggarannya hampir 2,500 kes bunuh diri setiap tahun atau secara puratanya tujuh kes setiap hari.

“Sebenarnya, rakyat Malaysia perlu menghentikan sikap meminggirkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, sebaliknya hendaklah membantu mereka,” ujarnya.

Wan Azizah menambah, sesetengah orang Islam mentafsir penyakit mental sebagai kelemahan iman, dan menasihatkan mereka yang mudah diserang penyakit itu agar lebih banyak berdoa, takutkan Allah atau lupakan langsung situasi mereka.

“Mengapa kita mudah bersimpati dengan seseorang yang patah tangan dan menjauhkan diri daripada seseorang yang menghadapi tekanan perasaan?

“Lebih cepat kita ubah persepsi ini lebih baik buat kita semua,” kata beliau. -Malaysia Gazette