Home Utama Promosi Grab, Pakatan Harapan hancurkan periuk nasi pemandu teksi

Promosi Grab, Pakatan Harapan hancurkan periuk nasi pemandu teksi

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media berkenaan isu Perkhidmatan Teksi dan Penyedia Perkhidmatan Atas Talian Grab di Hotel De Palma Ampang, Ampang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 13 OKTOBER 2018.

AMPANG – Setelah hampir enam bulan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN), kemelut yang dihadapi oleh industri teksi tidak selesai malahan lebih teruk

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, Kerajaan Persekutuan  gagal membela pemandu teksi sebaliknya cuba menghancurkan periuk nasi industri itu dengan mempromosikan perkhidmatan e-hailing iaitu Grab. 

“Jika sebelum ini mereka minta sokongan kita (pemandu teksi). Kita dah jalankan tanggungjawab, kita membela Pakatan Harapan untuk mengambil alih kerajaan.

“Tiba masa kerajaan sepatutnya membela pemandu-pemandu teksi bukan membunuh pemandu teksi,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada cadangan Tony Pua untuk mengkaji kemungkinan bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan e-hailing termasuk Grab sebagai alternatif kepada bas perantara sedia ada untuk pengguna MRT.

Shamsubahrin turut mempersoalkan tindakan mempromosikan Grab oleh Pua dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke secara konsisten sambil mendakwa parti itu menerima tajaan daripada syarikat e-hailing tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

“Berapa juta Grab beri tajaan untuk  DAP pada pilihan raya? Kerat jari saya kalau Grab tidak taja (parti itu),” menurutnya.  

Tambahnya lagi, Loke juga gagal menjalankan tugas dengan telus  apabila tidak menguatkuasakan secepat yang mungkin tentang pelaksanaan penuh perkhidmatan e-hailing.

Malah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut dipersalahkan kerana didakwa tidak menunaikan tugas dengan tegas kerana tidak menguatkuasakan tindakan terhadap pemandu Grab yang menggunakan lesen persendirian. 

Ekoran rasa tidak puas hati itu, Shamsubahrin berkata, pihaknya akan menganjurkan demonstrasi secara besar-besaran  di Putrajaya pada Rabu dan Khamis ini.

Protes itu bagi menggesa Tun Mahathir Mohamad memecat Pua dan Loke seperti mana Perdana Menteri itu pernah mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur pada pilihan raya yang lalu. 

“Saya tak gembira dengan DAP, saya tidak happy dengan Tony Pua dan Anthony.

“Saya akan menghantar satu surat kepda Ketua Polis Negara (Tan Sti Mohamad Fuzi Harun). Insya-Allah sampai ke mejanya pada Selasa pagi tentang ketidakpuasan hati industri teksi dan demonstrasi besar-besaran di Putrajaya. -MalaysiaGazette