KUALA LUMPUR – Kita generasi yang tidak sempat melihat kehebatan perjuangan Rasulullah SAW menegakkan agama Islam di depan mata.
Malah aura perjuangan Islam yang diteruskan oleh para sahabat baginda pun jauh daripada zaman kita.
Selain panduan al-Quran dan sunnah yang tinggal kepada kita adalah kitab-kitab, artifak, peralatan perang dan teknologi zaman itu.
Aura daripada peninggalan itu bagaimanapun dapat diambil menyemarakkan semangat jihad dan rasa cinta kepada Nabi dan sahabat.
Atas dasar minat dan jihad, Dubaiz Islamic Concept (DIC) Sdn. Bhd. merancang satu reformasi baharu dalam pameran sejarah dan artifak Islam dan perjuangan bangsa Melayu.
Pengasasnya, Datuk Seri Dr. Rusli Zaman berkata, sebagai permulaan, DIC menganjurkan Pameran Senjata Peperangan 1,400 Tahun dan Artifak Tokoh Cendekiawan Islam di Kelantan dengan kerjasama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mulai esok.
Pameran selama empat hari di MRSM Pengkalan Chepa itu merupakan permulaan pihaknya memberi pendedahan kepada umum menghayati sejarah perjuangan Islam.
“Ia (pameran di MRSM Pengkalan Chepa) merupakan permulaan kepada kami menganjurkan pameran pada skala yang lebih besar ke seluruh negara atau peringkat antarabangsa pada masa depan,” ujarnya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.
Menurut Rusli, pelawat yang hadir pada pameran itu berpeluang menyaksikan Pedang Saidina Umar al -Khatab, Saidina Abu Bakar, Saidina Hamzah dan Khalid Al Walid.
Selain itu koleksi baju perang sahabat Nabi SAW juga ada dipamerkan selain peralatan senjata Islam dari Parsi, Monggol dan pada zaman Kesultanan Melayu.
Duit emas Raja Melayu Islam Nusantara, Pinggan yang ditulis ayat al-Quran pada kurun ke-11, kitab-kitab tulisan tangan, jam matahari, peralatan penulisan serta pembedahan zaman kegemilangan Islam juga ada dalam pameran yang sama.
“Ada juga glob besar, kipas emas dari Kerajaan Riau Lingga dan peralatan astronomi dipamerkan,” kata Rusli lagi.
Walaupun pengunjung dikenakan tiket (antara RM5 hingga RM10) namun pengalaman menyaksikan bahan dalam pameran itu jauh lebih berharga dan ‘mahal’.
Lagi pun kos sewa, insuran dan keselamatan barangan berharga itu jauh lebih besar daripada keuntungan tiket yang bakal diperoleh.
Para pelawat juga boleh melihat pameran kraftangan, pertandingan pidato selain terlibat dalam aktiviti memanah dan cabutan bertuah diadakan sepanjang hari pameran.
Mereka juga boleh membeli-belah di gerai jualan disediakan.
Apa yang penting, menurut Rusli, pameran itu dapat membangkitkan semangat jihad orang Islam dan menjadikannya inspirasi memartabatkan agama Islam dalam perjuangan pada masa sekarang.
“Apa yang penting roh jihad Islam dapat diserap dan menambahkan ilmu kepada pelawat daripada terpengaruh dengan keganasan yang berselindung atas nama agama Islam,” katanya.-MalaysiaGazette