Home Akhbar Cina Sampah masyarakat tidak layak diberi peluang kedua

Sampah masyarakat tidak layak diberi peluang kedua

Sim Yee Ling kehilangan anak perempuannya, Ng Yuk Tim yang berumur 15 tahun dan berasal dari Cheras, Kuala Lumpur pada 2013 selepas dia dibunuh dan mayatnya disumbat ke dalam beg pakaian.
Sim Yee Ling kehilangan anak perempuannya, Ng Yuk Tim yang berumur 15 tahun dan berasal dari Cheras, Kuala Lumpur pada 2013 selepas dia dibunuh dan mayatnya disumbat ke dalam beg pakaian.

PETALING JAYA – “Sampah masyarakat seperti ini tidak layak diberi peluang kerana sifat serong dan hati sewel mereka sudah berakar,” kata Sim Yee Ling ketika mengulas keputusan kerajaan untuk menghapuskan hukuman mati.

Yee Ling kehilangan anak perempuannya, Ng Yuk Tim yang berumur 15 tahun dan berasal dari Cheras, Kuala Lumpur pada 2013 selepas dia dibunuh dan mayatnya disumbat ke dalam beg pakaian.

Pada April tahun ini, seorang lelaki, Poon Wai Hong dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah membunuh Yuk Tim.

Sebaik sahaja mendengar berita bahawa hukuman mati akan dimansuhkan, ibu yang kehilangan anak itu telah meluahkan perasaan tidak puas hatinya melalui Facebook.

Ketika dihubungi Sinchew Daily kemudian, Yee Ling sekali lagi menyuarakan kemarahannya sambil melontarkan pandangan bahawa sampah masyarakat akan mengulangi kesalahan lampau jika dibebaskan dari penjara.

“Mereka yang menyokong pemansuhan hukuman mati boleh rasakan (pengalaman saya).

“Golongan ini adalah terlalu daif. Jangan bazirkan sumber dan duit untuk memelihara sampah masyarakat,” katanya yang tidak percaya pembunuh Yuk Tim akan bertaubat.

Menurutnya lagi, kerajaan harus menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku dalam negara dan bukannya menghabiskan masa untuk membuat perkara yang sia-sia.

“Yang patut mati, biarlah mereka cepat mati. Saya dengar dari ayah saya bahawa hanya sembilan banduan digantung pada tahun lalu.

“Ini bermaksud ramai lagi yang sedang berbaris menunggu giliran dan sumber sedang dibazirkan,” katanya.

Menurut Yee Ling, walaupun hukuman mati ke atas pembunuh tidak dapat mengembalikan anaknya yang dibunuh, tetapi dia berpendapat bahawa pesalah harus menanggung akibatnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada Rabu lalu mengumumkan bahawa pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan berkuat kuasa.

Lembaga Pengampunan dilapor akan melihat permohonan banduan yang kini dalam senarai hukuman mati, sama ada dilepas atau diringankan hukumannya.

Kata Vui Keong, Kabinet sudah membuat keputusan untuk memansuhkan pelaksanaan hukuman mati, bagaimanapun terdapat beberapa perkara perlu diperincikan. – MalaysiaGazette