KUALA LUMPUR- Jenazah penyanyi popular, Saleem selamat dikebumikan di Tanah Islam Perkuburan Cheras Perdana selepas Zuhur di sini hari ini.
Lebih 300 saudara, kenalan serta rakan artis hadir di surau berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham.
Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed, 57, sebelum ini terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 21 September lalu.
Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah serta beliau berada dalam keadaan koma.
Sekitar pukul 7 pagi tadi, salah seorang anak penyanyi yang terkenal dengan lagu Suci Dalam Debu itu memuat naik status mengenai kematian penyanyi legenda itu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras di sini.
Pemergian anak kelahiran Setiu, Terengganu itu merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air kerana beliau adalah seorang penyanyi yang memliki vokal unik dan bersuara emas.
Selain Suci Dalam Debu, Saleem meninggalkan puluhan koleksi lagu popular nyanyiannya seperti Bunga Emas, Selamat Tinggal Penderitaan, Satu Kesan Abadi, Budi dan Bulan Jatuh Ke Riba. – MalaysiaGazette