Home Politik Aziz Bari raih undi terbanyak, dipilih Naib Pengerusi DAP Perak

Aziz Bari raih undi terbanyak, dipilih Naib Pengerusi DAP Perak

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari menafikan beliau merupakan dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi undi tidak percaya.
Abdul Aziz Bari

TAIPING – Dr Abdul Aziz Bari melakarkan sejarah sebagai satu-satunya calon Melayu memperoleh undi terbanyak dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Perak dan dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP negeri yang baharu.

Dalam pemilihan oleh 1,303 perwakilan di Hotel Taiping Perdana, di sini hari ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu memperoleh 890 undi, sekali gus mengatasi 23 calon lain yang bertanding.

Abdul Aziz, seorang pakar perlembagaan dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, dipilih ke jawatan itu bersama-sama dengan ADUN Sungkai, A. Sivanesan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri.

Jawatan Pengerusi DAP Perak kekal mernjadi milik Anggota Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming buat penggal kedua manakala timbalan pengerusi disandang Anggota Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar.

Sepupu Kor Ming, MP Beruas, Ngeh Koo Ham juga kekal sebagai Penasihat DAP negeri manakala Anggota Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh dipilih sebagai setiausaha.

Kor Ming yang memperoleh 701 undi berada dalam kedudukan ketujuh daripada senarai 15 ahli jawatankuasa yang dipilih manakala Koo Ham pula berada di kedudukan ke-10 dengan 667 undi.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata beliau menerima tugas baharu itu sebagai tanggungjawab berat dan cabaran dengan perasaan rendah hati.

“Saya sama sekali tidak menjangkakan akan memperolehi jumlah undi terbanyak dan ketika di Selangor dahulu pada 2015, saya merupakan ahli jawatankuasa yang dilantik,” katanya yang sebelum ini merupakan ahli cawangan DAP Pandan sebelum berpindah ke cawangan Ipoh Garden.

Dalam pada itu, bercakap kepada media, Kor Ming berkata, kejayaan diraih Abdul Aziz itu bukti bahawa pemilihan parti tidak didorong sifat perkauman sebaliknya atas kewibawaan calon.

“Kita berharap dengan pemilihan sebagai naib pengerusi, dia mampu menarik lebih ramai sokongan masyarakat Melayu dalam DAP,” katanya.

JAWATANKUASA DAP PERAK 2018-2019


Penasihat: Ngeh Koo Ham (Ahli Parlimen Beruas)

Pengerusi: Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Teluk Intan)

Timbalan Pengerusi: V. Sivakumar (Ahli Parlimen Batu Gajah)

Naib Pengerusi: Abdul Aziz Bari (ADUN Tebing Tinggi) dan A. Sivanesan (ADUN Sungkai)

Setiausaha: Wong Kah Woh (Ahli Parlimen Ipoh Timor)

Penolong Setiausaha: Ong Boon Piow (ADUN Bercham)

Bendahari: Yong Choo Kiong (ADUN Tronoh)

Penolong Bendahari : Leong Cheok Keng (ADUN Malim Nawar)

Setiausaha Organisasi: Teh Kok Lim (Ahli Parlimen Taiping)

Penolong Setiausaha Organisasi: A. Sivasubramaniam (ADUN Buntong); Leow Thye Yih (ADUN Pokok Assam)

Setiausaha Publisiti: Chong Zhemin (ADUN Keranji)