KUALA LUMPUR – Kedudukan hutang Felda kini adalah kritikal dan menanggung hutang sebanyak RM8 bilion setakat Jun 2018.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, Felda yang sudah melantik pengurusan baharu sejak Julai lalu sedang melaksanakan pelan pemulihan termasuk menjual aset-aset bukan strategik di Sabah, Sarawak dan London.
Penjualan itu dijangka menyumbang sebanyak RM2.2 bilion, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain tindakan tersebut, Felda juga akan mengadakan pertemuan dengan institusi-institusi kewangan tempatan dalam usaha mengurangkan beban hutang tersebut.
“Melalui kaedah-kaedah ini Felda dijangka mengurangkan hutang sebanyak 15 peratus kepada RM6.8 bilion pada akhir tahun ini.
“Kaedah ini dapat menampung sebahagian daripada komitmen Felda kepada 112,635 peneroka,” tambahnya.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) yang bertanya apakah benar aliran tunai Felda hampir kosong dan apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan nasib peneroka-peneroka terbela.
Azmin berkata, walaupun situasi aliran tunai Felda kritikal, kerajaan akan terus memberi komitmen memulihkan kewangan Felda dalam dua tahun akan datang.
“Kerajaan memberikan komitmen untuk memulihkan FELDA secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka-peneroka
selaras dengan matlamat penubuhan FELDA di bawah
Akta Kemajuan Tanah 1956,” ujar Azmin.
Seterusnya, tambah beliau, Kerajaan Pakatan Harapan akan membentangkan kertas putih pada sidang Parlimen kali ini bagi mengemukakan isu-isu dan langkah-langkah kewangan serta tadbir urus mengenai syarikat perladangan terbesar negara itu.
“Seterusnya ini akan membantu Kerajaan sedang merangka pelan
tindakan pemulihan menyeluruh yang bersesuaian dan memberi manfaat langsung kepada FELDA dan warga peneroka Felda,” menurut Azmin. – MalaysiaGazette