KUALA LUMPUR – Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan Ogos 2018 seramai turun 0.2 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Ketua Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan tenaga buruh pada bulan ini naik 2.6 peratus berbanding Ogos 2017 kepada 15.42 juta orang.
Pada tempoh yang sama, penduduk bekerja turut meningkat 2.6 peratus kepada 14.90 juta orang.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.6 mata peratus (Ogos 2017: 67.8 peratus).
Manakala kadar pengangguran pada Ogos 2018 kekal 3.4 peratus bagi tiga bulan berturut-turut.
Pada bulan ini, bilangan penganggur adalah seramai 525.0 ribu orang, naik 1.2 peratus berbanding 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.
Perbandingan tahun ke tahun, bilangan penganggur meningkat 1.6 peratus.
Kadar pengangguran (pelarasan musim) pada Ogos 2018 kekal pada 3.4 peratus berbanding bulan sebelumnya. – MalaysiaGazette