Home Ekonomi Lynas cari alternatif baru jika kilang di Gebeng ditutup

Lynas cari alternatif baru jika kilang di Gebeng ditutup

Amanda Lacaze.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Corporation, Amanda Lacaze.

KUALA LUMPUR – Lynas, salah satu pembekal nadir bumi utama di luar China sedang mencari alternatif lokasi jika terpaksa menutup kilangnya di Malaysia susulan kajian yang dijalankan semula oleh kerajaan.

Namun, Ketua Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze yakin kilangnya itu akan melepasi kajian semula alam sekitar.

Dalam wawancara dengan Financial Times, Lacaze berkata, tinjauan negatif akan menggangu pelabur, pelanggan dan kerajaan, yang sensitif untuk memastikan ada sumber bekalan nadir bumi yang boleh dipercayai di luar China.

Nadir bumi merupakan kumpulan 17 elemen yang digunakan dalam produk berteknologi tinggi dari telefon pintar ke kenderaan elektrik.

“Saya tidak fikir ia mungkin berlaku (kajian positif) tetapi jika kita terpaksa menutup di Malaysia, kesannya akan dirasai dalam rantaian bekalan di seluruh dunia dan ia akan menjadi paling penting di Jepun, Amerika Utara dan Eropah, ” kata Lacaze.

Tambahnya, Lynas akan menilai pilihan-pilihan jika terpaksa menutup kilang yang bernilai AS$710 juta di Kuantan.

Lynas menjadi mangsa kempen alam sekitar sejak ia dalam pembinaana pada tahun 2010 lagi.

Pada masa itu, syarikat tersebut akan mengenal pasti aset-asetnya bagi membolehkan ia dapat memberi khidmat kepada para pelanggannya.

Dalam jangka pendek, Lynas mungkin memerlukan rakan kongsi di China dan pada jangka panjang ia perlu menubuhkan operasinya di luar China.

“Australia mungkin tempat yang baik,” katanya.

Saham Lynas susut 27 peratus pada bulan lalu selepas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik menjadi pengerusi menyemak semula operasi kilang syarikat itu.

Lacaze mengharapkan kajian alam sekitar itu lebih adil, telus dan saintifik serta jawatankuasa itu perlu terdiri dalam kalangan teknikal dan berkeupayaan saintifik berbanding anggota yang pro atau anti kempen.

Kemunculan Lynas sebagai pembekal nadir bumi bukan China memberikan keselesaan kepada pelanggan, terutamanya di Jepun, yang menghadapi gangguan bekalan China pada tahun 2010 berikutan pertikaian antara negara hingga mengakibatkan kenaikan harga sehingga 10 kali ganda.

Lynas mengangkut bijih dari lombong Australia Barat untuk diproses di Malaysia dan telah menguasai kira-kira 12 peratus pasaran nadir bumi global sejak beberapa tahun yang lalu.

Ia adalah pembekal utama neodymium dan praseodymium – unsur-unsur yang digunakan dalam motor kenderaan elektrik dan turbin angin.

Kerajaan Australia menyokong Lynas, dengan pesuruhjaya tinggi Australia di Malaysia, Andrew Goledzinowski, mengatakan bulan lalu bahawa ia akan menjadi “tragedi” jika loji Lynas ditutup.

Menurut Goledzinowski, selagi ia mematuhi peraturan alam sekitar, tidak perlu ketakutan terhadap kajian semula yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia. – MalaysiaGazette