Home Nasional Pas puji kuasa netizen gagalkan program ikon LGBT

Pas puji kuasa netizen gagalkan program ikon LGBT

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPURĀ – Pas memuji tindakan netizen laman sosial yang berjaya mengagalkan penganjuran program dua artis ikon LGBT dari Thailand ke negara ini dan mengutuk amalan songsang itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hasilnya, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) membatalkan serta-merta program sesi bertemu peminat Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur.

“Tindakan begini sangat dialu-alukan kerana ia mencerminkan sikap sebenar agensi kerajaan yang menghindari terlibat dengan kumpulan LGBT.

“Jika netizen tidak menularkan dan mengutuknya, dikhuatiri ada pula pemimpin beragama Islam bakal berhujah bahawa auditorium Muzium Negara adalah kawasan bersifat peribadi dan mereka memiliki tiket sahaja dibenarkan masuk.

“(kita khuatir) mereka yang tidak terlibat dengan LBGT disaran menjauhkan diri daripada program ini sebagaimana Oktoberfest mahu diadakan di sebuah pusat beli-belah,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas tindakan JMM membatalkan serta-merta penganjuran program sesi bertemu peminat yang disertai oleh ikon LGBT dari Thailand di Muzium Negara, pada Sabtu ini.

Tuan Ibrahim juga menggesa agensi-agensi kerajaan berkaitan agar menyenaraihitam pihak penganjur terbabit yang tidak telus dalam permohonan mereka.

“Pihak penganjur yang tidak telus di dalam permohonan mereka patut diberi amaran dan disenarai-hitamkan.

“Tahniah diucapkan kepada netizens dan juga JMM atas sikap tidak berkompromi dengan nilai bercanggah Islam yang menjadi teras pembentukan budaya Malaysia. – MalaysiaGazette